Sebahagian murid yang mengikuti Jelajah TV PSS daerah Sepang.
Sebahagian murid yang mengikuti Jelajah TV PSS daerah Sepang.

Jelajah TV PSS labuhkan tirai, beri manfaat lebih 200 sekolah

AZLEENDA SAHALUDIN
15 Nov 2023 05:05pm
A
A
A

Program Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) anjuran Sinar Bestari Sinar Harian dengan kerjasama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor akhirnya melabuhkan tirainya pada 7 November lalu.

Bertempat di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi sebagai lokasi terakhir bagi daerah Sepang, Selangor, jelajah ini mendapat penyertaan sebanyak 10 buah sekolah rendah dan 13 buah sekolah menengah.

Menurut Ketua Penolong Pengarah SSTP, JPN Selangor, Mohamad Nuri Hussin, Jelajah TV PSS dilihat sebagai satu program yang bagus untuk diadakan apatah lagi ia menitiberatkan tentang perkongsian ilmu dan pengalaman dunia kewartawanan kepada murid-murid sekolah.

Katanya, melalui perkongsian pengetahuan ini murid bukan sahaja dapat menimba ilmu baru tetapi turut didedahkan dengan latihan praktikal tentang cara mewujudkan TV PSS di sekolah masing-masing dengan bimbingan petugas Sinar Bestari.

“Saya lihat pendedahan ini dapat memupuk kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan murid untuk membina idea secara spontan.

“Bukan itu sahaja, melalui program sebegini juga ia mampu melahirkan murid berpotensi tinggi untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber dan berwibawa sama ada di sekolah ataupun di luar,” katanya kepada Sinar Bestari.

Ketika ditanya mengenai kejayaan program Jelajah TV PSS tersebut, Mohamad Nuri memberitahu, ia dapat dilihat menerusi kejayaan murid menghasilkan video mengikut kreativiti masing-masing walaupun dalam masa singkat.


Jelajah TV PSS yang berlangsung 
di daerah Banting, baru-baru ini.
Jelajah TV PSS yang berlangsung di daerah Banting, baru-baru ini.

“Saya lihat di akhir program setiap jelajah, murid diberi tugasan menghasilkan video mengikut idea dan kreativiti masing-masing sekali gus mampu menyelesaikan dengan jayanya.

Artikel Berkaitan:

“Diharapkan melalui pendedahan ini juga mereka dapat menyertai pertandingan video TV PSS Sinar Bestari yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” ujarnya lagi.

Jelajah TV PSS adalah satu program yang mengajar murid-murid tentang asas kewartawanan dan pengendalian studio mini di sekolah.


Sekitar Jelajah TV PSS daerah Hulu Selangor.
Sekitar Jelajah TV PSS daerah Hulu Selangor.

Jelajah bagi peringkat negeri Selangor telah berlangsung sejak 2 Mei 2023 dan sekitar 10 buah daerah telah terlibat sekali gus memberi pelbagai manfaat kepada lebih 200 buah sekolah yang menyertainya.

Ia dijalankan secara berperingkat mengikut daerah dan tarikh yang telah ditetapkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok