Jelajah TV PSS akan terus laksanakan dengan membuka 
lebih ruang dan peluang kepada sekolah-sekolah lain untuk menyertainya.
Jelajah TV PSS akan terus laksanakan dengan membuka lebih ruang dan peluang kepada sekolah-sekolah lain untuk menyertainya.

Jelajah TV PSS sebar luas pengetahuan kewartawanan dan penyuntingan video

AZLEENDA SAHALUDIN
06 Nov 2023 03:04pm
A
A
A

Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) anjuran Sinar Bestari Sinar Harian bertujuan menyebarluaskan ilmu pengetahuan para pelajar khususnya kepada mereka yang menyertai Kelab TV PSS di sekolah tentang kerjaya sebagai wartawan dan cara menghasilkan video menarik.

Untuk perkongsian ilmu berkenaan, baru-baru ini, sesi Jelajah TV PSS yang seterusnya telah diadakan di PSS, Sekolah Menengah (SM) Sains Hulu Selangor, melibatkan sekolah rendah dan menengah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Selangor, Selangor.

 Che Norila
Che Norila

Menurut Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Sumber dan Jabatan Teknologi Pendidikan, Che Norila Mohamad Zain, program ini dilihat sebagai satu perkongsian ilmu bermanfaat buat murid sekolah lebih-lebih lagi dalam mengasah bakat mereka menceburi kerjaya kewartawanan.

Bukan itu sahaja, mereka turut berpeluang mempelajari sendiri teknik yang betul daripada pihak industri tentang cara mengedit dan menghasilkan sesebuah video.

“Program ini sangat bagus dan melalui perkongsian ilmu daripada mereka yang terlibat dalam industri akan membantu meningkatkan kemahiran dan membuka minda murid serta guru tentang bagaimana TV PSS berfungsi.

“Diharapkan ia terus dilaksanakan lagi dengan membuka lebih ruang dan peluang kepada sekolah-sekolah untuk menyertai agar TV PSS dapat dibangunkan dan dijayakan,”katanya kepada •Sinar Bestari•.

Jelajah TV PSS Hulu Selangor merupakan anjuran kerjasama dengan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor melibatkan 10 buah sekolah rendah antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya 1, SK Taman Bunga Raya 2, SK Bukit Beruntung 2, SK Bandar Sungai Buaya, SK Bandar Baru Batang Kali, SK Bukit Sentosa, SK Rasa, SK Sungai Tengi, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batang Kali dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Tangga.

Artikel Berkaitan:

Turut serta 10 buah sekolah menengah iaitu Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Kuala Kubu Bharu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Batang Kali, SMK Syed Mashor, SM Sains Hulu Selangor, SMK Kuala Kubu Bharu, SMK Taman Bunga Raya 1, SMK Bukit Sentosa, SMK Sungai Choh, SMK Bandar Sungai Buaya dan Sekolah Agama Menengah (SAM) Sungai Selisik.

Cikgu Nurul ‘Afiqah
Cikgu Nurul ‘Afiqah

Pada waktu yang sama, guru SK Taman Bunga Raya 1, Cikgu Nurul ‘Afiqah Zainudin berkata, penyertaan kali pertamanya bersama anak-anak didik ke program sebegini membantu membuka peluang menghidupkan TV PSS di sekolah.

“Jelajah TV PSS ini adalah tepat untuk murid-murid saya menimba pengetahuan tentang dunia kewartawanan dan teknik sebenar dalam menghasilkan sesebuah video.

"Saya berpendapat, ia wajar dilakukan pada masa akan datang agar mudah sekolah-sekolah mencari pelapis baru untuk membangunkan TV PSS,” ungkapnya.

Cikgu Mohd Shamsul
Cikgu Mohd Shamsul

Seterusnya, guru SMK Bandar Sungai Buaya, Cikgu Mohd Shamsul Nizam Mohd Ishak pula berpendapat, Jelajah TV PSS mendedahkan para pelajar tentang ilmu kewartawanan yang jarang diperkatakan di sekolah.

“Program ini cukup bagus diadakan secara berterusan agar pelajar dapat mempelajari sesuatu dalam memupuk minat baru mereka," ujarnya.

APA KATA MEREKA

"Program ini sangat seronok dan bermanfaat kepada saya dan rakan-rakan kerana apabila kami berjaya menghasilkan video nanti, ia dapat dijadikan inspirasi buat adik-adik yang baru memasuki TV PSS kelak.” - Pelajar Tingkatan Tiga, SAM Sungai Selisik, Muhammad Saif Aiman Mohd Solehuddin.

Muhammad Saif Aiman
Muhammad Saif Aiman



"Begitu seronok kerana dapat belajar tentang dunia kewartawanan dengan lebih mendalam kerana saya memang berminat menceburi bidang pekerjaan tersebut. Ini kerana, saya mahu menyampaikan ilmu pengetahuan kepada orang lain.” - Murid Tahun Enam, SK Bukit Beruntung 2, Radin Ainul Mardhiah Radin Ahmad Baihaqi.

Radin Ainul Mardhiah
Radin Ainul Mardhiah

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok