Azatus Sakhia (tiga dari kiri) menyerahkan Lanyard kepada peserta program.
Azatus Sakhia (tiga dari kiri) menyerahkan Lanyard kepada peserta program.

Jelajah TV PSS Sinar Bestari Kedah: Impi adakan skala besar kelak

76 pelajar dari 19 sekolah didedahkan ilmu kewartawanan dan komunikasi yang betul

10 Jul 2024 01:41pm

Seramai 76 pelajar sekolah menengah dan rendah di Kedah menyertai Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sinar Bestari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP).

Penolong Pengarah, BSTP, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Azatus Sakhia Shakir Mashkor berkata, minggu ini merupakan siri jelajah di utara dengan Kedah menjadi negeri pertama dikunjungi.

“Rabu, jelajah ini akan ke Pulau Pinang dan Khamis ke Perak pula. Selasa, di Kedah dan penyertaan kita melibatkan keseluruhan daerah di negeri,” katanya selepas berakhir TV PSS Sinar Bestari di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah pada Selasa.

Menurut Azatus Sakhia, pihaknya akan berkolaboratif lagi dengan Sinar Bestari pada tahun depan sekiranya diberi peluang.

“Jika ada rezeki kita akan buat lebih besar (TV PSS Sinar Bestari) dengan melibatkan lebih ramai pelajar dalam program sebegini,” katanya.

Sementara itu, guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar, Cikgu Shamilah Masood berkata, program tersebut memberi manfaat kepada pelajar untuk mengurus TV PSS sekolah dengan lebih baik.

“Kami lebih dikenali dengan TV PSS Sunlay dan ditubuhkan pada tahun lepas. Walaupun masih baharu namun kami akan terus belajar supaya dapat mencapai satu tahap yang maksimum.

“Insya-ALLAH dengan ilmu yang didedahkan oleh tenaga pengajar, kru kami nampak lebih jelas bagaimana untuk menguruskan TV PSS Sunlay,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin (kanan) bersama peserta program di SMKA Kedah.
Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin (kanan) bersama peserta program di SMKA Kedah.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Lapangan Terbang, Asmaa’ Mohammad Anuar, 12, pula berkata, dia mula menyertai TV PSS pada tahun lalu.

“Saya bercita-cita untuk menjadi peguam, jadi dengan menyertai TV PSS ini ia membantu saya meningkatkan keyakinan diri ketika berhadapan dengan umum,” katanya.

Jelas Asmaa’, dia berasa teruja apabila dipilih untuk menyertai Jelajah TV PSS Sinar Bestari.

“Kalau cikgu tak pilih pun, saya nak datang juga sebab yakin banyak ilmu yang boleh saya dapat daripada program ini. Contohnya, saya baru tahu mengenai peraturan sebenar dan etika yang perlu dijaga apabila menjadi seorang wartawan.

“Saya harap lebih banyak program sebegini diadakan supaya ilmu kewartawanan dapat didedahkan kepada kami di sekolah,” katanya.

Pelajar Tingkatan Dua SMKA Kedah, Muhammad Ammar Hasif berkata, program tersebut mendedahkan teknik penghasilan video mengikut spesifikasi yang betul.

“Apabila mengikuti program ini, baru saya tahu cara menyunting video yang betul dan lebih kreatif. Semoga lebih banyak program sebegini akan diadakan pada masa akan datang supaya dapat mengasah bakat kru TV PSS yang ada,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp