Jelajah Uni Enrol Scholar Search 2023 beri peluang pelajar mohon biasiswa
Informasi mengenai penawaran biasiswa pendidikan daripada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau yayasan amat dinanti-nantikan pelajar lepasan sekolah menengah.
Ini kerana pembiayaan biasiswa yang pelajar perolehi mampu membantu mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Sehubungan itu, atas inisiatif membantu pelajar mendapatkan biasiswa, Uni Enrol Sdn Bhd (Uni Enrol), platform kemasukan universiti dan jururunding pendidikan terbesar di Malaysia akan menganjurkan jelajah ‘Uni Enrol Scholar Search 2023’ yang keenam pada 20 hingga 28 Mei ini di lapan negeri dan 15 buah bandar.
Negeri-negeri yang terlibat ialah Perak, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor dan Sabah manakala bandar-bandar pula antaranya Taiping, Sitiawan, Teluk Intan, Alor Setar dan Kota Kinabalu.
Program Uni Enrol Scholar Search yang mendapat kerjasama pemimpin serta persatuan masyarakat tempatan seperti Junior Chamber International (JCI) dan Majlis Belia Malaysia (MBS), memberi peluang pelajar lepasan sekolah menengah mendapat biasiswa dari 100 institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta mengikut kelayakan masing-masing menerusi satu platform.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Uni Enrol, Rickson Khaw, pelajar yang menyertai jelajah ‘Uni Enrol Scholar Search 2023’ berpeluang mendapat penerangan mengenai biasiswa secara percuma dan sesi kaunseling bersama kaunselor dari Uni Enrol.
Ujarnya, sebanyak 500 tawaran biasiswa melibatkan 3,000 kursus pengajian dengan jumlah tajaan bernilai sekitar RM25 juta disediakan menerusi platform ini bagi memberi lebih peluang pelajar lepasan sekolah memohon kursus dan biasiswa di IPT yang dimohon.
"Sejak 2018, Uni Enrol telah membantu lebih 3,000 pemohon menerima biasiswa yang berjumlah RM50 juta.
“Justeru, kewujudan platform Uni Enrol sangat penting dan tepat dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan kursus pengajian yang sesuai, bantuan biasiswa, skim pembayaran pengajian dan tawaran pendidikan pelbagai universiti tempatan sekaligus membantu mereka mencari pekerjaan lebih baik selepas tamat pengajian,” ujarnya.