No Image Caption

Johor timbang perluas bantuan pengajian pelajar di Maghribi

04 Sep 2025 06:45pm

Kerajaan Johor akan mempertimbangkan untuk memperluas bantuan pengajian kepada pelajar negeri itu yang melanjutkan pengajian di Maghribi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pada masa ini bantuan seumpama itu diberikan kepada pelajar negeri itu yang menuntut di Jordan dan Mesir menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

"Pada waktu ini belum ada pengkhususan (bantuan) untuk para pelajar di Maghribi, sebab jumlahnya kalau di Johor hanya empat orang.

"Namun, kita akan raikan dan melawat mereka (di Maghribi) dan saya minta persatuan pelajar untuk menulis kepada kita (kerajaan negeri) apa bantuan yang wajar diberi kepada mereka di Maghribi," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan kepada Pelajar Johor ke Timur Tengah di Eko Galleria di Iskandar Puteri pada Khamis.

No Image Caption

Beliau turut menyarankan pelajar serta ibu bapa mendapatkan nasihat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sebelum memilih melanjutkan pelajaran di institusi agama di luar negara.

Beliau berkata, ia susulan terdapat sebilangan institusi berkenaan yang tidak diiktiraf kerana tidak selaras dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Fared menyeru agar masjid dan surau di seluruh Johor melaksanakan solat hajat secara berterusan susulan kejadian gempa bumi di Segamat dan Batu Pahat.

"Solat hajat ini wajar diteruskan tanpa mengira masa, ia perlu digalakkan bukan cuma ketika berlaku bencana seperti gempa bumi, tetapi juga untuk memohon kesejahteraan," katanya.

Beliau berkata solat hajat untuk keselamatan rakyat di Palestin juga akan diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru Ahad ini. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp