Qayyum Fakhrullah tersenarai dalam 9.52 peratus pelajar terbaik bagi sesi musim sejuk tahun 2024. Foto: Facebook MARA Frankfurt
Qayyum Fakhrullah tersenarai dalam 9.52 peratus pelajar terbaik bagi sesi musim sejuk tahun 2024. Foto: Facebook MARA Frankfurt

Qayyum Fakhrullah tersenarai pelajar terbaik di University of Applied Sciences Düsseldorf walaupun pengajian 100 peratus dalam bahasa Jerman!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
06 Aug 2025 04:43pm

Hampir setiap hari, kita mendengar pelbagai kisah kejayaan yang diraih anak-anak Malaysia di luar negara.

Mereka bukan sahaja mengharumkan nama negara dalam bidang akademik, kokurikulum, inovasi, penyelidikan dan kesukarelawanan, malah menjadi sumber inspirasi buat generasi muda di tanah air.

Terbaharu, anak kelahiran Selangor, Muhammad Qayyum Fakhrullah Mazhazmi mencipta kejayaan luar biasa apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Proses dan Alam Sekitar di University of Applied Sciences Düsseldorf, Jerman.

Paling mengagumkan, cara pembelajaran Qayyum Fakhrullah bukanlah dalam bahasa Inggeris tetapi sepenuhnya menggunakan bahasa Jerman.

Menerusi hantaran MARA Frankfurt di Facebook, Qayyum Fakhrullah memperoleh gred tertinggi 1,0 (100 peratus) untuk tesis akhir dan purata keseluruhan 1,5 (90 + peratus).

Kejayaan itu secara tidak langsung membolehkan anak muda tersebut tersenarai dalam 9.52 peratus pelajar terbaik di University of Applied Sciences Düsseldorf bagi sesi musim sejuk tahun 2024.

Selain cemerlang akademik, Qayyum Fakhrullah juga aktif dalam pelbagai aktiviti atau projek anjuran universiti atau pihak luar.

"Dia terlibat dalam projek di Syarikat Fraunhofer UMSICHT iaitu salah satu Institut Penyelidikan Sains Gunaan terkemuka di Jerman.

Artikel Berkaitan:

Foto: Facebook MARA Frankfurt
Foto: Facebook MARA Frankfurt

"Projek ini menumpukan kepada pembangunan teknologi pemangkin untuk menukarkan gliserol (hasil sampingan industri biodiesel) kepada gas sintetik seperti hydrogen.

"Penyelidikan berkenaan kemudiannya menjadi asas kepada tesisnya bertajuk Catalytic Steam Reforming of Glycerol for Syngas Production," kongsi MARA Frankfurt.

Seterusnya, anak muda hebat ini juga aktif dalam German - Malaysian Round Table (GMRT) di Düsseldorf pada 2024 sebagai peserta.

Dalam masa sama, dia membantu penganjuran pelbagai acara melalui Malaysian Düsseldorf (MaDü) iaitu unit komuniti yang menghimpunkan rakyat Malaysia dalam program perayaan, ilmiah dan pertemuan komuniti setempat.

Akhir sekali, Qayyum Fakhrullah menyimpan hasrat besar untuk kembali menyumbang kepada tanah air setelah menimba ilmu dan pengalaman berharga di bumi Jerman.

Dia bercita-cita mahu memberi sumbangan bermakna dalam industri kimia, minyak dan gas serta bidang kejuruteraan hijau selari dengan agenda kelestarian global.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp