Pelaksanaan inisiatif itu bakal diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat. Kredit foto: Facebook CKL Academy Of Skills
Pelaksanaan inisiatif itu bakal diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat. Kredit foto: Facebook CKL Academy Of Skills

JPA sedia ruang, peluang graduan TVET berkhidmat dalam sektor awam

25 Jul 2024 12:19pm
A
A
A

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan ruang dan peluang kepada graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang berkelayakan untuk berkhidmat dalam sektor awam melalui syarat lantikan lebih luas serta fleksibel.

Menurut kenyataan JPA pada Rabu, perkara berkenaan selaras keputusan kerajaan meneruskan usaha memperkasakan TVET di bawah Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah memperluas kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dalam syarat lantikan Gred 19 dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dalam syarat lantikan Gred 29.

Pelaksanaan inisiatif itu bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

"Menerusi SSPA, JPA menyediakan ruang dan peluang kepada graduan berkelayakan TVET untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam melalui syarat lantikan lebih luas serta fleksibel.

Kredit foto: Facebook CKL Academy Of Skills
Kredit foto: Facebook CKL Academy Of Skills

"JPA sentiasa bekerjasama dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Kemahiran Malaysia, Kementerian Sumber Manusia untuk memperuntukkan kelayakan TVET yang diiktiraf MQA dalam kelayakan masuk skim perkhidmatan bersesuaian dalam perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

Penetapan kelayakan TVET dalam syarat lantikan ke perkhidmatan awam bergantung kepada kesesuaian bidang kemahiran tertentu di dalam skop dan huraian tugas sesuatu skim perkhidmatan serta dilaksanakan susulan perbincangan dengan ketua perkhidmatan berkaitan.

"Sebagai contoh, peruntukan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bidang pengangkutan diletakkan sebagai syarat lantikan ke skim perkhidmatan Pemeriksa Kereta Motor Gred AB19 kerana bidang itu bersesuaian dengan skim berkenaan berbanding skim perkhidmatan Pembantu Perikanan Gred G19 yang menetapkan syarat SKM dalam bidang pertanian dan asas tani,” menurut JPA.

Kredit foto: Facebook CKL Academy Of Skills
Kredit foto: Facebook CKL Academy Of Skills

Sementara itu, JPA memaklumkan pihaknya sentiasa cakna dengan keperluan industri negara dalam penyediaan modal insan berkemahiran bagi mendepani Revolusi Industri 4.0.

"Kerajaan terus mempergiat TVET dengan memperuntukkan kelayakan SKM dalam 66 skim perkhidmatan di Gred 19 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2011 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016.

"Bagi memastikan perkhidmatan awam sentiasa bergerak seiring keperluan negara, kelayakan DKM dan DLKM juga diperuntukkan dalam syarat lantikan bagi dua skim perkhidmatan di Gred 29 iaitu skim perkhidmatan Penolong Pegawai Latihan Vokasional Gred DV29 dan Penolong Pegawai Latihan Gred E29," kata JPA. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok