Ahmad Zahid berswafoto dengan para pelajar ketika menghadiri Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia 2025, pada Khamis.
Ahmad Zahid berswafoto dengan para pelajar ketika menghadiri Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia 2025, pada Khamis.

Kampus UPTM bakal diperluas, siap ada smart classroom!

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
10 Apr 2025 06:52pm

Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) bakal menerima nafas baharu apabila cadangan peruntukan tambahan bagi peluasan kampus akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan UPTM dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran bertaraf dunia seperti Smart Classroom yang mempunyai panel kecerdasan interaktif, Internet berkelajuan tinggi dan prasarana pembelajaran terkini.

“Insya-ALLAH, saya bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil akan ‘membisikkan’ perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam mesyuarat Kabinet agar peruntukan tambahan dapat diberi keutamaan demi memperkasa sektor pendidikan dan menyediakan kampus yang lebih besar,” katanya semasa berucap dalam Majlis Amazing Syawal UPTM 2025 di Kuala Lumpur pada Khamis.

Majlis turut dihadiri Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Ahmad Zahid, antara faktor yang menyokong cadangan peluasan kampus ialah peningkatan jumlah pelajar terutamanya apabila program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (AI) akan ditawarkan di UPTM menjelang hujung tahun ini.

No Image Caption

Dalam masa sama, beliau menekankan pentingnya penggunaan internet secara beretika dalam kalangan pelajar. Beliau memberi amaran keras kepada pelajar yang menyalahgunakan kemudahan sedia ada untuk tujuan yang tidak bermoral.

“Saya harap Pengerusi Mara tidak berkompromi dan terus mengambil tindakan tegas termasuk membuang pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan internet, khususnya perkara berkaitan elemen seksual,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid juga menyeru mahasiswa dan alumni UPTM agar terus mendukung prinsip kemanusiaan, menjadikan nilai agama serta Rukun Negara sebagai panduan hidup demi membentuk insan berakhlak mulia dan berilmu.

No Image Caption

Menutup ucapannya, beliau mencadangkan agar pihak pengurusan UPTM meningkatkan pengambilan pelajar dari Maahad Tahfiz untuk mengikuti bidang profesional di institusi itu.

“Saya difahamkan kini hanya terdapat 17 pelajar Maahad Tahfiz di UPTM dan 30 di KPTM. Jumlah ini masih belum mencukupi kerana terdapat kira-kira 125,000 pelajar di 1,199 Maahad Tahfiz berdaftar di seluruh negara,” katanya.

Langkah ini dilihat sebagai satu inisiatif inklusif dalam menyemarakkan pendidikan holistik yang menggabungkan kepakaran profesional dan nilai agama, selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp