Ahmad Zahid menandatangani plak ketika hadir merasmikan Pusat Hidrodinamik Wave Tank di Universiti Kuala Lumpur kampus Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) dalam awatan kerja pada Jumaat. Foto Bernama
Ahmad Zahid menandatangani plak ketika hadir merasmikan Pusat Hidrodinamik Wave Tank di Universiti Kuala Lumpur kampus Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) dalam awatan kerja pada Jumaat. Foto Bernama

Bukan Islam usah bimbang ujian asas fardu ain GiatMara - Ahmad Zahid

SAIFULLAH AHMADSAIFULLAH AHMAD
25 Jan 2025 08:34am

Ujian asas fardu ain yang diwajibkan bagi kemasukan baharu di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) GiatMara hanya dilaksanakan untuk pelajar beragama Islam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehubungan itu, pelajar bukan Islam tidak perlu bimbang mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) amat menyokong syarat baharu kemasukan tersebut bagi memastikan pelajar mempunyai sekurang-kurangnya asas agama.

"Mereka (pelajar bukan Islam) tak perlu bimbang, jangan bimbang. Kamu dengan agama kamu, aku dengan agama aku. Maksudnya kita hormati agama yang berbeza. Jadi ini harus difahami.

"Sebab kita yang orang Islam ini soal syahadah, soal perkara-perkara yang asas bukan satu paksaan. Ini satu kewajiban, jadi itu sebab saya menyokong," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Kampus Malaysia Institute of Marine Engineering Technology (MIMET), Lumut, Perak pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut bersetuju untuk memperluaskan ujian sama ke institusi pendidikan Mara yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Saya menyokong saranan Pengerusi Mara untuk melihat bahawa semua pelajar yang masuk bukan hanya ke GiatMara tetapi IKM (Institut Kemahiran Mara) dan semua institusi pendidikan mara yang dipanggil IPMa mempunyai sekurang-kurangnya asas keagamaan.

"Walaupun disebut dalam al-Quran, tidak ada paksaan dalam agama. Alangkah baiknya selain kita ahli profesional, kita juga ahli ibadah," katanya.

Media pada Khamis melaporkan bahawa pelajar kemasukan baharu di 232 institusi TVET GiatMARA diwajibkan melalui ujian asas fardu ain termasuk kelancaran bacaan al-Fatihah.

Asyraf Wajdi berkata beliau mengarahkan ujian khas terbabit diperkenalkan berikutan ada kalangan pelajar institusi itu dikenal pasti lemah dalam aspek agama.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memaklumkan, KKDW menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membolehkan pelajar Politeknik Bagan Datuk menyambung pengajian mereka ke UniKL MIMET dalam bidang maritim.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Tinggi dan kita akan melakukan kolaborasi antara UniKL dan KPT keseluruhannya.

"Begitu juga pihak Mara akan melihat program jangka panjang yang pada hemat saya, ia harus menjurus ke arah kursus-kursus profesional dalam bidang maritim," katanya.

Dalam lawatan sama, Ahmad Zahid turut merasmikan Pusat Tangki Ombak Hidrodinamik yang dibina melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dengan kos RM12.7 juta.

Fasiliti berteknologi tinggi ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada perkembangan industri maritim Malaysia.

Pusat ini berpotensi memperkukuh penyelidikan, inovasi, serta pembangunan modal insan dalam sektor kejuruteraan marin dan maritim.

Fasiliti tangki ombak bertaraf antarabangsa ini yang dikenali sebagai pusat ujian hidrodinamik tangki ombak dibina secara khususnya untuk aktiviti pembelajaran, penyelidikan dan konsultasi melibatkan model kapal dan struktur 'offshore' di laut dalam.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp