Karya asli 3 pelajar Sabah diterbitkan di majalah sastera terkemuka United Kingdom. Kagum!
Karya asli 3 pelajar Sabah diterbitkan di majalah sastera terkemuka United Kingdom. Kagum!

Karya asli 3 pelajar Sabah diterbitkan di majalah sastera terkemuka United Kingdom. Kagum!

Roshlawaty Md Raieh
19 Oct 2022 08:00am
A
A
A

Karya asli tiga pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah berjaya menarik perhatian majalah sastera terkemuka United Kingdom ‘Margate Bookie’ untuk diterbitkan bagi edisi 2022.

Majalah sastera terbabit hanya memilih 50 karya terbaik dari seluruh dunia untuk diterbitkan setiap tahun.

Tiga pelajar tersebut iaitu Nur Rasya Aleeya Omarpudin, 17; Ashraf Daniel Anuar, 17 dan Griselda Gilbert, 18 telah menghasilkan karya mengikut minat masing-masing.

Nur Rasya Aleeya mendedikasikan lukisan yang bertajuk ’Inner Peace’ kepada ibunya yang telah mengharungi pelbagai dugaan namun tetap sabar dan tenang.

Bagi Ashraf Daniel pula, dia menghasilkan puisi bertajuk ‘I took it on myself’ yang merupakan rumusan pengalaman hidupnya di mana dia mengakui telah melakukan kesilapan pada masa lepas dan perlu memaafkan diri sendiri untuk meneruskan kehidupan dengan prospek yang lebih sihat.

Manakala Griselda telah menulis esei mengulas pahit manis kehidupan yang membuatkan hidup lebih bermakna kerana ia mengajar individu untuk sentiasa muhasabah diri.

Majalah ‘Margate Bookie’ merupakan majalah sastera yang dikeluarkan secara tahunan di United Kingdom.

Isi kandungan majalah tersebut menampilkan beberapa penulisan kreatif dan kesenian yang dihasilkan individu berbakat luar biasa dari seluruh dunia seperti Malaysia, India, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Setiap tahun ‘Margate Bookie’ menampilkan tema yang berbeza dan tahun ini mereka memilih tema ‘The Open Arms’ yang bermaksud menerima suasana baharu dengan hati dan minda terbuka berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia selama dua tahun.

Majalah itu boleh dimuat turun di laman sesawang Margate Bookie https://margatebookie.com/events-projects/the-margate-bookie-zine/#

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin berkata, pihaknya bangga dengan pencapaian ketiga-tiga pelajar itu kerana menghasilkan karya seni penulisan dan visual yang menerima pengiktirafan antarabangsa.

“Pencapaian ini membuktikan kemampuan pelajar Sabah dalam bidang penulisan dan karya seni visual yang perlu diperkukuhkan lagi untuk menghasilkan rakyat yang berjiwa seni serta gemar menulis,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sinar Bestari menghubungi seorang guru di kolej terbabit bagi mendapatkan sedikit pandangan mengenai bakat ketiga-tiga pelajar berkenaan.

Guru Bahasa Inggeris, Dr Sirhajwan Idek berkata, semua pelajar itu sememangnya memiliki bakat dan kebolehan semula jadi dalam menghasilkan karya seni seperti seni persembahan, penulisan dan visual semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas.

Misalnya Nur Rasya Aleesya yang gemar melukis sejak di bangku sekolah rendah lagi. Dek minatnya itu, maka tidak hairanlah dia mampu menghasilkan lukisan ‘Inner Peace’ dan berjaya dimuatkan dalam ‘Margate Bookie’.

Ashraf Daniel pula merupakan pelajar jurusan bakeri & pastri tahun dua. Dia rajin menulis puisi dan aktif dalam bidang seni persembahan termasuklah seni tarian dan teater.

Seterusnya, Griselda adalah pelajar seni kulinari tahun tiga. Dia pernah menyertai pertandingan menulis puisi berformat haiku (format penulisan puisi yang berasal dari Jepun) secara dalam talian sehingga berjaya muncul juara.

Akhir sekali, Sirhajwan berharap semua pelajar KV Keningau berusaha menghasilkan karya yang bermutu dan berkualiti tinggi untuk terbitan majalah sastera akan datang seterusnya berpeluang menyertai pelbagai pertandingan penulisan nanti.

Artikel berkaitan 

4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat

Pementasan ‘Titah Menusuk Retak’ papar Sejarah Kesultanan Melayu Selangor dan Johor-Riau

Pelajar Kolej GENIUS@Pintar Negara UKM cemerlang di World Scholar’s Cup Global Round 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok