Fadhlina mengadakan sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bencana Kebakaran Gas Putra Heights di SMK USJ 23 pada Rabu.
Fadhlina mengadakan sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bencana Kebakaran Gas Putra Heights di SMK USJ 23 pada Rabu.

Kebakaran saluran gas: KPM salur RM1,000 kepada 128 pelajar, lima guru

17 Apr 2025 09:20am

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyalurkan sumbangan RM1,000 masing-masing kepada 128 pelajar dan lima guru dari 37 sekolah yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas.

Menteri berkenaan, Fadhlina Sidek berkata, bantuan yang disokong oleh Yayasan Guru Tun Hussein Onn dan Yayasan Didik Negara itu disalurkan kepada pelajar dan guru terlibat dari 21 sekolah rendah dan 16 sekolah menengah bagi meringankan beban dan memastikan mereka tidak tercicir.

"Pada peringkat KPM, kita bukan sahaja tumpukan soal pemberian sumbangan (kewangan) ini, tetapi juga sokongan lain termasuk dari segi akademik, sokongan psikososial sementara mereka tidak pergi ke sekolah tempoh hari, (mereka) dapat (bantuan) baju sekolah dan sebagainya (buku teks, alat tulis) untuk meneruskan pendidikan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bencana Kebakaran Gas Putra Heights di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 23 di Subang Jaya, di sini pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Profesionalisme, Dr Mohd Azam Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Operasi Sekolah, Zainal Abas.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Tun Hussein Onn, Zahirudin Mohammad Hanif dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Dr Jafri Abu turut hadir pada majlis itu.

Fadhlina juga memberikan komitmen akan terus memantau keperluan mangsa dari semasa ke semasa termasuk menyediakan kaunseling pascabencana bagi memastikan kesejahteraan emosi pelajar dan guru terpelihara.

Sementara itu, Zainal berkata, KPM telah menggerakkan Smart Support Team yang terdiri daripada guru bimbingan dan kaunseling bagi memberi sokongan psikososial manakala Academic Support Team untuk pembelajaran mangsa insiden itu semasa di pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kalau dari segi sokongan emosi, kita akan beri secara berterusan sebab insiden ini memerlukan intervensi yang berpanjangan dan kita pasti guru-guru bimbingan kaunseling kita mampu membimbing murid-murid ini bagi membantu mereka,” katanya.

Ditanya mengenai komitmen KPM dalam memastikan tiada yang tercicir menerima bantuan, beliau berkata penyaluran bantuan diselaraskan dengan senarai mangsa berdaftar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semasa mereka berada di PPS.

Zainal turut meminta mana-mana pihak yang tercicir daripada menerima bantuan supaya segera menghubungi JPN Selangor atau Pejabat Pendidikan Daerah terdekat bagi tujuan semakan dan tindakan lanjut.

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp