Kebersihan tandas sekolah, ini solusi diberikan Menteri Pendidikan
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat teguran kebanyakan tandas di sekolah di negara ini tidak terjaga dan dibaik pulih sebaiknya.
Justeru itu, beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) memeriksa tandas-tandas berkenaan bagi memastikan setiap murid bertanggungjawab terhadap kebersihan dan mendapat kemudahan yang selesa sepanjang berada di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyambut baik saranan Perdana Menteri agar murid dilibatkan dalam siri pendidikan kebersihan di sekolah.
Ujarnya, KPM akan memperincikan ruang pelaksanaan untuk melibatkan murid dan pelajar dalam siri pendidikan kebersihan di sekolah masing-masing.
Bagaimanapun, Fadhlina berkata, penerapan amalan menjaga kebersihan tandas akan dilakukan melalui ‘program sedia ada’ seperti kesedaran tentang kebersihan dan advokasi untuk mendidik murid menggunakan tandas dengan betul.
"Kebersihan tandas adalah program jangka panjang Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) yang mensasarkan semua tandas sekolah KPM mencapai minimum TIGA (3) bintang pada akhir tahun 2025 sebagai satu standard kualiti yang perlu dicapai setiap sekolah," ujarnya.
Susulan isu kebersihan tandas yang dibangkitkan Perdana Menteri, KPM menerusi laman Facebook pada Ahad telah memuat naik empat perkara penting berhubung pelaksanaan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah KPM.
Empat pelaksanaan itu terdiri daripada
1) Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah KPM akan dimulakan dalam waktu terdekat.
2) Semua sekolah KPM mencapai penarafan kebersihan tandas minimum TIGA (3) bintang pada akhir 2025.
3) Membudayakan amalan penjagaan kebersihan tandas dan tanggungjawab murid.
4) Program advokasi tanggungjawab murid bagi memupuk kesedaran.
Sinar Bestari berharap kesemua pelaksanaan ini akan mendapat kerjasama semua pihak sekali gus berjaya mencapai tahap yang ditetapkan oleh KPM.