KPM mengesahkan isu keciciran pelajar di Kelantan masih terkawal dan tidak sampai ke tahap yang kritikal. Gambar hiasan.
KPM mengesahkan isu keciciran pelajar di Kelantan masih terkawal dan tidak sampai ke tahap yang kritikal. Gambar hiasan.

Keciciran pelajar di Kelantan tidak kritikal - Ketua Pengarah Pendidikan

06 Sep 2025 05:33pm

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan isu keciciran pelajar di Kelantan masih terkawal dan tidak sampai ke tahap yang kritikal, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, jumlah pelajar tercicir di negeri ini telah berkurangan iaitu hanya 327 orang pada tahun ini berbanding 652 orang pada tahun lepas.

"Kita nampak ada usaha penambahbaikan melalui intervensi yang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan bersama pengetua dan guru besar bagi mengurangkan keciciran pelajar.

"Setakat ini, Kota Bharu merekodkan pelajar yang tercicir paling ramai iaitu seramai 76 pelajar, diikuti Gua Musang seramai 62 orang.

"Walau apa pun nilainya, kita sentiasa meneliti punca utama yang menyebabkan pelajar ini tercicir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-63 di Kota Bharu, Kelantan. 

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada keciciran pelajar ini termasuk masalah sosio ekonomi keluarga, keinginan untuk bekerja dan pengaruh rakan sebaya.

"Kita sebolehnya mahu mereka ini ke sekolah kerana berada di sekolah bukan hanya membantu mereka dari segi akademik tetapi juga membina akhlak diri, kesejahteraan mental dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Sama ada mereka terlibat dengan gejala sosial atau sebaliknya, itu kita akan nilai dari semasa ke semasa. Setakat ini, kita telah mengenal pasti beberapa faktor termasuk kemiskinan namun pihak kita ada 16 bentuk bantuan untuk mereka (golongan miskin)," katanya. - Bernama

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp