
Kes Zara Qairina: Pengarah pendidikan disaran buat 'spot check' tinjau keadaan sekolah
Pengarah Pendidikan Negeri disaran mengadakan pemeriksaan mengejut atau spot check bagi meninjau sendiri situasi di sekolah, termasuk sekiranya terdapat dakwaan kejadian buli bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.
Saranan itu disuarakan bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Jame Alip, yang menerajui jabatan tersebut dari tahun 2013 hingga 2016, susulan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, yang dikaitkan dengan dakwaan buli di sebuah sekolah berasrama di Papar.
Jame berkata, semasa menerajui jabatan itu beliau sering melakukan pemeriksaan mengejut terutama pada waktu malam ke sekolah-sekolah di sekitar Sabah.
"Dulu waktu saya sebagai pengarah (Pendidikan Negeri Sabah), kadang-kadang buat pemeriksaan mengejut pada waktu malam. Saya mahu pastikan keselamatan asrama. Malam-malam saya pergi, sewaktu penghuni tengah belajar.
"Apabila buat begitu, akan berlakulah kejutan dan orang tahu pengarah turun padang. Kita di atas ini kena turun padang untuk melihat sendiri apa yang berlaku,” katanya pada Rabu.
Beliau turut berpendapat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu membenarkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengeluarkan kenyataan media berhubung isu semasa tanpa sekatan yang tidak wajar.
"Di Sabah ini yang tahu masalah hanyalah pengarah pendidikan atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), jangan tutup mulut.
"Dulu, bila ada isu penting, saya panggil sidang akhbar supaya rakyat tahu kita ambil tindakan. Sebagai pengarah, itu tanggungjawab kita.
"KPM perlu memberi kuasa autonomi kepada pengarah pendidikan negeri untuk menjelaskan isu semasa kerana mereka lebih tahu. Kalau terlalu menyekat, orang akan kata tidak telus," katanya.
Mengulas mengenai kes buli, Jame berkata, ia memang berlaku di sekolah tetapi pada zamannya, kes yang berlaku bersifat terpencil dan tidak sehingga menyebabkan kecederaan parah atau kematian.
Beliau menegaskan peranan pengetua dan terutama ketua warden sangat penting dalam menangani isu disiplin pelajar di asrama.
"Perkara ini sudah dibincangkan dan dicadangkan oleh Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah pada tahun 1990-an supaya jawatan ketua warden diisi oleh individu sepenuh masa, bukan dalam kalangan guru yang masih mengajar.
"Kalau ketua warden ada latar belakang kesihatan atau perubatan, lebih baik kerana banyak isu di asrama melibatkan pelajar demam atau sakit. Bekas tentera juga boleh, dari segi disiplin,” ujarnya.
Bagi kes semasa, beliau berpendapat pihak sekolah perlu menyerahkan siasatan kepada polis tanpa memberi komen yang boleh menjejaskan siasatan, namun perkembangan siasatan wajar dimaklumkan kepada orang awam bagi meredakan spekulasi.
"Sepatutnya, untuk meredakan keadaan, beri perkembangan awal-awal supaya netizen faham ada tindakan diambil. Kalau diam saja, akan timbul pelbagai komen dan spekulasi,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak mengelakkan tindakan yang memberi tekanan kepada pelajar.
"Tidak wajar mengadakan himpunan di hadapan sekolah kerana ini akan memberi tekanan kepada murid," pesannya kepada orang ramai yang dikatakan ingin mengadakan himpunan di hadapan sekolah yang terlibat dengan kematian Zara Qairina.