Kedudukan UiTM melonjak naik, kini berada pada kedudukan 101-200 dunia
Kedudukan UiTM melonjak naik, kini berada pada kedudukan 101-200 dunia

Kedudukan UiTM melonjak naik, kini berada pada kedudukan 101-200 dunia

Azliyana Sulaiman
22 Apr 2021 07:21am
A
A
A

SHAH ALAM – Ranking Universiti Teknologi MARA (UiTM) melonjak naik pada kedudukan band 101-200 pada tahun ini berbanding 401-600 pada tahun lepas susulan pengumuman Times Higher Education (THE), Impact Rankings, semalam.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Ts Dr Roziah Mohd Janor, yang menjalankan fungsi Naib Canselor, peningkatan tersebut dicapai melalui dua (2) Matlamat Pembangunan Lestari UiTM (Sustainable Development GoalsSDGs) yang berada pada posisi 50 terbaik, iaitu SDG 5 pada kedudukan 42 berbanding 74 sebelumnya dan SDG 17 pada kedudukan 48, berbanding 601+ sebelumnya.

Manakala, dua (2) lagi SDG pada kedudukan 100 terbaik iaitu SDG 1 pada kedudukan 54, berbanding 101-200 sebelumnya, dan SDG 4 pada kedudukan 95, berbanding 101-200 sebelumnya.

Beliau berkata, pencapaian yang memberangsangkan ini adalah hasil pendekatan dan inisiatif pintar yang telah dimulakan oleh mantan Naib Canselor, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim, khususnya melalui pelaksanaan perancangan strategik UiTM2025.

“Justeru, ia adalah bukti jelas bahawa UiTM berada pada landasan yang betul ke arahmenjadi universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025 malahan, akan menjadi motivasi terbaik kepada keterangkuman seluruh warga UiTM untuk kekal komited,” jelas Prof Roziah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam edisi ketiga THE Impact Rankings ini, sejumlah 1,115 universiti di seluruh dunia telah mengambil bahagian dalam penarafan ini.

Tahun 2021 merupakan tahun kedua penyertaan UiTM dan ia sekaligus menampilkan kecemerlangan pencapaian universiti dengan meraih tempat ke-4 teratas daripada keseluruhan 19 universiti di Malaysia yang menyertai.

Berbeza dengan penarafan dunia yang lain, THE Impact Rankings memberi tumpuan terhadap 17 Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals-SDGs) dalam usaha menyemai keharmonian serta kemakmuran alam dan masyarakat sejagat.

Untuk edisi kali ini, UiTM telah menyertai sembilan (9) matlamat, iaitu SDG 1, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 10 dan 17. Selain empat (4) SDG yang berada di kalangan 100 terbaik, empat (4) SDG lain yang turut mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan adalah SDG 6 yang berada di band 101-200, berbanding tahun lalu iaitu pada band 201-300.

Selain daripada itu, SDG 3, SDG 7 dan SDG 10 memperbaiki kedudukan dengan berada di band 201-300 berbanding 301-400 yang dicapai pada tahun lepas.

Peningkatan ketara dicatatkan oleh SDG 17 (Partnerships for the Goals) yang menempatkan UiTM di kedudukan 48 berbanding band 601+ pada tahun lepas.

Pencapaian yang membanggakan ini adalah hasil usaha dan komitmen yang berterusan UiTM dalam kolaborasi pintar dengan rakan-rakan strategik.

Artikel menarik

Kaedah secara online paling popular sepanjang PdPR, Cikgu Ahmad Zhafran kongsi sebabnya!

Cantik dan menenangkan, wajah baru perpustakaan SMK Air Tawar tarik perhatian warga maya


 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok