Kehilangan Nawal Shahirah sejak Selasa lalu terus menimbulkan kebimbangan.
Kehilangan Nawal Shahirah sejak Selasa lalu terus menimbulkan kebimbangan.

Kehilangan Nawal Shahirah: Telefon bimbit, Ipad dikesan kali terakhir aktif pada Selasa malam

01 Feb 2026 09:49pm

Kehilangan seorang pelajar Universiti Malaya (UM) sejak Selasa lalu terus menimbulkan kebimbangan apabila telefon bimbit dan iPad miliknya dilaporkan terakhir aktif dikesan pada malam yang sama, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai keselamatannya.

Menurut hebahan yang tular di media sosial, pelajar terbabit dikenal pasti sebagai Nawal Shahirah Mohd Jamil, 23, pelajar Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Ekonomi.

Difahamkan, Nawal Shahirah tidak dapat dihubungi sejak meninggalkan tempat kediamannya di Ryan & Miho, Petaling Jaya pada Selasa malam, 27 Januari lalu.

Susulan penularan kes berkenaan, Universiti Malaya (UM) dalam satu kenyataan mengesahkan sedang bekerjasama rapat dengan pihak polis bagi membantu mengesan pelajar terbabit.

UM memaklumkan pihaknya memandang serius perkara itu dan telah mengambil langkah segera untuk berhubung dengan pihak berkuasa serta keluarga Nawal Shahirah bagi menyalurkan bantuan dan sokongan sewajarnya.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih demi menghormati proses siasatan serta menjaga privasi semua pihak yang terlibat," katanya.

UM turut memaklumkan bahawa sebarang perkembangan rasmi mengenai kes tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, sambil berharap pelajar berkenaan dapat ditemui dengan selamat.

Kes kini dalam siasatan polis.

Terdahulu, polis menjalankan siasatan merangkumi semua aspek termasuk pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) kediaman pelajar UM yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, gadis terbabit masih belum ditemui setakat ini.

"Siasatan menyeluruh dijalankan termasuk meneliti semua petunjuk yang ada bagi mengesan keberadaan mangsa.

"Ini termasuk pemeriksaan CCTV di kediaman mangsa, jadi siasatan dijalankan merangkumi semua sudut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Media melaporkan pelajar dikenali sebagai Nawal Shahirah berusia 23 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di sebuah kondominium berhampiran Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, Seksyen 14 Selasa lalu.

 

 

Ringkasan AI

  • Pelajar Universiti Malaya, Nawal Shahirah Mohd Jamil, 23, dilaporkan hilang sejak Selasa
  • Telefon bimbit dan iPad miliknya terakhir aktif pada malam hilangnya
  • UM mengesahkan kerjasama dengan polis untuk mencari Nawal
  • UM mengambil langkah segera berhubung dengan pihak berkuasa dan keluarga Nawal
  • Polis menjalankan siasatan termasuk pemeriksaan CCTV di kediaman Nawal
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp