No Image Caption

Kekurangan guru pendidikan khas bukan penghalang buka kelas PPKI di sekolah

02 Jul 2024 08:30pm

Kekurangan guru opsyen Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) terlatih bukan penghalang untuk membuka kelas pendidikan khas di sekolah yang memerlukan kerana ia boleh diisi dengan guru bukan opsyen pendidikan khas sedia ada.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, guru bukan opsyen pendidikan khas itu akan diberikan kursus pendedahan pendidikan khas oleh Kementerian Pendidikan (KPM) selama tiga hari bagi mendapat kelayakan mengajar murid di kelas PPKI.

Selain itu, guru-guru berkenaan juga layak menerima elaun sebanyak RM250 setiap bulan, sama seperti guru opsyen pendidikan khas.

"Bagi guru bukan opsyen pendidikan khas, mereka akan diberikan latihan bagi pembangunan kapasiti dalam bidang-bidang seperti pengurusan murid berkeperluan pendidikan khas dan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN).

"... mereka juga akan diberi latihan pemantapan pedagogi dan kandungan mata pelajaran guru pendidikan khas, pemantapan kemahiran digital dan ICT (teknologi komunikasi dan maklumat) dan sebagainya. Itu usaha jangka pendek untuk menggunakan guru sedia ada untuk dijadikan guru PPKI," katanya.

KAH WOH
KAH WOH

Beliau berkata demikian pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat pada Selasa, bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu sama ada kekurangan guru PPKI terlatih menjadi penghalang pembukaan kelas PPKI, khususnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau berkata, KPM juga mempunyai unjuran pengambilan calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) setiap tahun untuk semua aliran sekolah di negara ini.

Beliau berkata, unjuran itu adalah berdasarkan keperluan negara bagi tempoh lima tahun akan datang, selain merupakan komitmen KPM untuk memastikan keperluan murid daripada semua latar belakang dapat dijaga dan dipenuhi. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp