Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023

Taylor’s University jadi tuan rumah majlis kemuncak, pupuk kerjasama budaya serantau

AISYAH BASARUDDIN Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
27 Nov 2023 01:24pm
A
A
A

Taylor’s University menjadi tuan rumah Majlis Penutup Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023, selepas sambutan kerjasama antarabangsa dan pertukaran budaya itu mencapai kemuncaknya pada Ahad lalu.

Majlis itu merupakan kerjasama di antara Taylor’s University bersama Qigong Management Centre of the General Administration of Sport of China selaku penganjur yang mana ia telah berlangsung di Universiti Sukan Beijing, China selama sebulan sejak 14 Oktober lalu.

Menurut Pro Naib Canselor (Penyelidikan dan Perusahaan) Taylor’s University, Profesor Madya Dr Anthony Ho Siong Hock, pihaknya melahirkan rasa bangga di atas kepercayaan menjadi tuan rumah majlis berprestij tersebut yang sekali mengukuhkan kedudukan Taylor’s University di persada dunia.

“Penganjuran kem ini berjaya menyatukan pelbagai pihak melalui amalan penyembuhan tradisional. Malah, ia mencerminkan peranan kami sebagai pemudah cara serta pendorong saling hubungan antara budaya di peringkat global, selaras dengan komitmen kami untuk memupuk hubungan antarabangsa dan menjadi lebih daripada sekadar institusi pendidikan.

“Sehubungan itu, Taylor’s University akan terus berusaha menjadi ‘jambatan’ kepada penyatuan budaya komuniti global,” katanya semasa Majlis Penutup Kem Latihan Kesihatan Qigong China-ASEAN 2023 di Taylor’s University Lakeside Campus, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan dihadiri Pengerusi Persatuan Kesihatan Qigong Malaysia, Tan Leong Teck dan Pengarah Pejabat, Health Qigong Administrative Centre of General Administration of Sport of China, Wang Yi.

Selain itu, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan penyampaian sijil serta persembahan senaman Qigong daripada para pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Min.

Sementara itu, Ketua Pengarah, Qigong Management Centre of the General Administration of Sport of China, Dong Jun memberitahu, penganjuran kem latihan itu memberi manfaat besar kepada usaha mempromosikan amalan kesihatan di samping memelihara budaya tradisional masyarakat Cina.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kem latihan itu turut memberi peluang memupuk pertukaran dan persefahaman budaya yang lebih baik di antara China dengan negara anggota ASEAN.

Dalam pada itu, Wong Chen menyifatkan pelaksanaan inisiatif Qigong boleh dijadikan sebagai jambatan penghubung budaya di peringkat serantau dan seterusnya memupuk keharmonian komuniti di persada global.

“Saya mengucapkan tahniah kepada penganjur atas kejayaan acara ini dan Taylor’s University atas komitmen mereka mengukuhkan jalinan antarabangsa serta kepelbagaian budaya melalui kegiatan unik tersebut,” ujarnya.

Untuk rekod, Qigong merupakan satu amalan tradisional masyarakat Cina yang menggabungkan postur fizikal, teknik pernafasan dan tumpuan mental bagi mengekalkan kesihatan serta kecergasan tubuh badan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok