Kem motivasi beri peluang pelajar kenal al-Quran
“Kesusahan dengan al-Quran adalah kesusahan yang berbaloi untuk diperjuangkan.
“Sama seperti kehidupan kita. Adakalanya susah (ketika diuji), adakalanya senang (bila telah lepasi ujian). Apa pilihan dalam hidup yang tiada kesusahan? Semua ada kesusahan tersendirikan?
“Hakikatnya, setiap pilihan dalam hidup itu punya kesusahan tersendiri. Tapi ingat selalu yang kesusahan dengan al-Quran berbaloi diperjuangkan,” kata pendakwah bebas, Ustazah Syaurah Ishak kepada kumpulan pelajar Maahad Tahfiz Sains Dan Teknologi Darul Ehsan (MTSTDE), Pelabuhan Klang, Selangor menerusi kem motivasi 2024 baru-baru ini.
Beliau yang dijemput bagi menyampaikan slot bertajuk ‘Kenapa Perlu Menghafaz Al-Quran’ turut berkongsi pelbagai tip menghafaz al-Quran, enam hak terhadap al-Quran dan adab dengan ALLAH.
Jelasnya, perkongsian enam hak terhadap al-Quran adalah merangkumi membaca dengan tajwid, menghafaz, mengulang atau murajaah, tadabbur, mengamalkan dan menyebarkan al-Quran.
Sementara itu, Pengetua MTSTDE, Nur Syahirah Mohd Nor melahirkan rasa syukur kepada Ustazah Syaurah kerana sudi berkongsi nasihat dan tip pembelajaran kepada warga MTSTDE.
“Kem motivasi yang disertai 30 pelajar merupakan program tahunan untuk anak-anak didik MTSTDE Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
“Ia bertujuan memberi kekuatan kepada pelajar dalam pelbagai aspek untuk berubah ke arah kebaikan dan kemajuan,” katanya.