garnier1
garnier1

Kempen hijau SMK Darul Ehsan, kumpul 10,000 botol plastik untuk hasilkan mural

Nor Azma  Muhamat Laila
01 Jul 2022 10:20am
A
A
A

BATU CAVES - Dalam usaha menggalakkan kempen kitar semula dan menjaga alam sekitar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan, Batu Caves, Selangor mengumpulkan kira-kira 10,000 botol plastik untuk menghasilkan mural menggunakan bahan terpakai.

Mural yang dikenali dengan nama Bulatan Sempurna itu hasil ciptaan lebih 1,000 warga SMK Darul Ehsan yang terdiri daripada guru dan pelajar serta gabungan idea bersama dua pelukis tempatan dan ia bersempena dengan pelancaran program pendidikan sekolah di seluruh negara oleh Garnier Malaysia.

Pengetua SMK Darul Ehsan, Norlia Abu Bakar berkata, sekolah berkenaan terlibat secara aktif dalam menjalankan aktiviti alam sekitar sejak 2012 malah Kelab Pencinta Alam sekolah itu juga telah melaksanakan pelbagai aktiviti bagi melestarikan alam sekitar di peringkat sekolah, kampung, daerah, kebangsaan dan juga antarabangsa.

“Kerja-kerja untuk menyiapkan mural yang menggunakan penutup dan botol plastik, bongkah lego lama dan cat akrilik ini mengambil masa lebih kurang seminggu.

“Saya sangat berterima kasih kepada seluruh warga sekolah, pihak Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Garnier di atas peluang dan ruang yang diberikan untuk menjalankan program di sekolah ini sekali gus mendidik pelajar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

SMK Darul Ehsan telah dipilih sebagai lokasi untuk pelancaran program pendidikan oleh Garnier Malaysia memandangkan sekolah tersebut cukup dikenali dengan pelaksanaan inisiatif hijau yang pelbagai dalam kalangan pelajar dan komuniti.

Antara inisiatif hijau yang dilaksanakan di sekolah itu termasuklah membina rumah hijau, sistem tadahan air hujan, menyediakan kelas agrikultur dan hortikultur, dan juga hab pengumpulan untuk minyak masak dan fabrik terpakai.

Sekolah tersebut juga dikenali dengan pelaksanaan ‘Eco-Brick’, di mana botol plastik diisi padat dengan sisa buangan plastik untuk digunakan sebagai bahan binaan bagi menghasilkan dinding penebat atau perabot luar.

Hadir merasmikan program berkenaan ialah Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Marpuaton Sastero.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif MNS, I.S.Shanmugaraj Subramaniam dan Ketua Garnier Malaysia, Chris Chan.

Sementara itu, Chan berkata, pelancaran program pendidikan sekolah di seluruh negara itu dibuat sebagai sebahagian daripada inisiatif hijau syarikat di bawah kempen ‘Green Beauty’.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen Garnier Malaysia untuk memupuk generasi Hero Hijau yang seterusnya melalui pendidikan dan memberi pendedahan mengenai cara untuk menangani pencemaran plastik.

“Pencemaran plastik terus menjadi isu di Malaysia. Melalui inisiatif Green Beauty, kami ingin memainkan peranan sebagai sebuah jenama kecantikan yang lestari dalam mewujudkan impak, tidak kiralah kecil atau besar, ke arah kesejahteraan alam sekitar dalam jangka masa panjang.

“Kami percaya terhadap kuasa pendidikan dan program pendidikan sekolah ini akan memupuk pencinta alam sekitar yang akan menjadi generasi Hero Hijau yang seterusnya demi Malaysia yang lebih bersih dan lebih hijau,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Kitar semula untuk hasilkan beg, pasukan Genesys UTHM juara Cabaran EcoBiz Alliance Bank Musim ke-4

Projek lestari alam di sekolah buahkan hasil lumayan, galak penglibatan guru dan pelajar

Tiga murid bukti kemampuan. Raih pingat emas menerusi inovasi Eco R-Nano Tech Filter. Memang hebat!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok