Abang Johari meninjau prasarana untuk pelajar pada perasmian naik taraf kampus Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak pada Rabu.
Abang Johari meninjau prasarana untuk pelajar pada perasmian naik taraf kampus Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak pada Rabu.

Kemudahan pendidikan taraf dunia mampu tingkatkan usaha Sarawak guna teknologi baharu

27 Jun 2024 11:43am
A
A
A

Penyediaan kemudahan bertaraf dunia dalam sektor pendidikan Sarawak akan melonjakkan impian negeri untuk menerima pakai pengetahuan dan teknologi terkini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, rakyat negeri itu digesa meneroka dan melengkapkan diri dengan perkembangan global semasa bagi merealisasikan agenda tersebut.

"Menjadi hasrat kerajaan Sarawak untuk menyediakan persekitaran kemudahan bertaraf dunia agar pelajar mempunyai suasana yang baik untuk belajar bersungguh-sungguh dalam meneroka ilmu baharu pada masa yang sama meningkatkan diri dengan ilmu bagi menghadapi era pembangunan baharu," katanya ketika berucap merasmikan Kampus Universiti Teknologi Swinburne Sarawak (Swinburne Sarawak) yang dinaik taraf di Kuching pada Rabu.

Abang Johari berkata, melalui kemudahan yang dinaik taraf itu, siswazah Swinburne Sarawak boleh memainkan peranan untuk mencapai dasar pendigitalan negeri.

"Pada tahun 2026, saya perlu menjaga rakyat Sarawak dengan menyediakan pendidikan tinggi secara percuma di beberapa universiti, termasuk Swinburn. Saya harap generasi baharu akan merebut peluang ini untuk melengkapkan diri dengan perspektif global dan transformasi ekonomi," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengarah Swinburne Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dalam ucapannya berkata, naik taraf kampus bernilai RM50 juta itu bermula pada tahun 2019, bertujuan menampung populasi pelajar universiti yang semakin meningkat dengan menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik.

Beliau berkata, universiti itu menjangkakan peningkatan populasi kepada 5,000 pelajar dalam beberapa tahun akan datang.

"Jumlah pelajar telah berkembang dengan pesat sejak kebelakangan ini iaitu daripada hanya sekitar ratusan pelajar kepada kira-kira 3,500 kini, termasuk pelajar antarabangsa dari lebih 50 negara," katanya.

Projek naik taraf itu melibatkan Hab Pelajar baharu, Dewan Makanan, Perkampungan Pelajar dan Atrium Borneo, termasuk sambungan ke perpustakaan. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok