Markah PAJSK penting untuk pengiraan merit kemasukan ke universiti awam atau IPTA.
Markah PAJSK penting untuk pengiraan merit kemasukan ke universiti awam atau IPTA.

Kepentingan penilaian PAJSK yang perlu difahami

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
05 Jul 2024 11:13am

Isu pemarkahan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) tular di semua platform media sosial pada Khamis, apabila seorang ibu tidak berpuas hati dengan sebuah sekolah tahfiz yang menyebabkan markah PAJSK anaknya kosong.

Ibu berkenaan yang memuat naik hantaran di Facebook memaklumkan, anaknya memperolehi keputusan cemerlang straight A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan merit 98.5, namun asbab kesilapan PAJSK yang menyumbang 10 peratus daripada merit, anaknya tidak mendapat tempat dalam pilihan pertama UPUOnline.

Untuk makluman, markah PAJSK adalah penilaian yang sangat penting buat pelajar dalam pengiraan merit kemasukan ke universiti awam atau institut pengajian tinggi awam (IPTA).

PAJSK bukan sistem biasa sebaliknya ia adalah penilaian yang dilakukan di sekolah untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan, penilaian penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid serta pelajar dalam pelbagai aktiviti, demikian menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

PAJSK yang dibangunkan KPM memainkan peranan penting kepada murid dan pelajar kerana membantu Bahagian Sekolah Berasrama Penuh, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan IPTA dalam membuat penilaian kemasukan ke institut tersebut.

Terdapat tiga komponen utama dalam sistem PAJSK untuk pengetahuan semua.

Tiga komponen tersebut terdiri daripada Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK); Kokurikulum dan Ekstra Kurikulum.

1) Ujian SEGAK

SEGAK adalah satu set Ujian Standard Kecergasan Fizikal untuk mengukur tahap kecergasan fizikal murid berasaskan kesihatan.

Antara komponen yang terdapat di dalam SEGAK ialah Daya Tahan Kardiovaskular (Naik Turun Bangku); Fleksibiliti (Jangkauan Melunjur); Daya Tahan Kekuatan Otot (Rengkuk Tubi Separa) dan Daya Tahan Kekuatan Otot (Tekan Tubi).

2) Kokurikulum

Kokurikulum juga adalah salah satu komponen yang terdapat di dalam sistem PAJSK ini. Penilaian kokurikulum diambil bertujuan membangunkan modal insan dalam usaha memupuk nilai, sahsiah dan jati diri seseorang murid.

Di dalam kokurikulum, ia terbahagi kepada tiga komponen yang merangkumi Kelab Persatuan, Unit Beruniform dan Sukan/Permainan.

Selain itu, terdapat tiga elemen lain yang akan dinilai dalam ketiga-tiga komponen tersebut iaitu penglibatan (merangkumi jawatan, peringkat, komitmen dan khidmat sumbangan); penyertaan (merangkumi kehadiran) dan prestasi (merangkumi pencapaian).

3) Ekstra Kurikulum

Ekstra kurikulum merupakan satu kegiatan sukarela yang bermanfaat pada atau di luar waktu persekolahan, ke arah pembentukan peribadi yang terpuji.

Kesimpulannya, sistem PAJSK diwujudkan bukan hanya untuk membuat penilaian semata-mata sebaliknya ia adalah sebagai salah satu usaha agar murid bergiat aktif di dalam sukan sekali gus memastikan diri sentiasa sihat sepanjang masa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp