Fadhlina
Fadhlina

Keputusan SPM kekal diumum 27 Mei - Fadhlina

MOHD ISKANDAR OTHMAN
10 May 2024 05:38pm
A
A
A

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kekal diumumkan pada 27 Mei ini seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mendengar semua pandangan yang dikemukakan pelbagai pihak dan ia selari dengan pandangan KPM terutamanya berkaitan kesejahteraan warga pendidik.

Menurutnya, guru-guru yang sudah merancang untuk bercuti pada tarikh berkenaan boleh meneruskan hasrat mereka malah pihak sekolah boleh menunda majlis sambutan meraikan keputusan pada suatu tarikh akan datang.

"Guru-guru yang telah pun merancang untuk bercuti teruskan tiada masalah, kita akan pastikan bahawa keputusan ini mereka akan dapat melalui atas talian atau kiriman pesanan ringkas (SMS) dan mana-mana yang tidak ada akses kepada atas talian dan SMS boleh dapatkan di mana-mana sekolah terdekat.

"Jadi pihak pentadbir kena uruskan nanti bagi menyampaikan keputusan kepada pelajar... sebab itu kita bagi masa tiga minggu untuk uruskan dan sesi libat urus kita akan laksanakan secepat mungkin bagi memastikan tiada isu berbangkit pada 27 Mei nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Karnival HIP di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Jumaat.

Semalam, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan peperiksaan SPM 2023 yang membabitkan 395,870 calon akan diumumkan pada 27 Mei ini bermula 10 pagi.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon dalam satu kenyataan merayu agar keputusan SPM 2023 diumumkan lebih awal (23 Mei) memandangkan tarikh rasmi dikeluarkan KPM itu merupakan cuti sekolah.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, penetapan tarikh 27 Mei ini juga memberi peluang kepada pelajar membuat persediaan untuk permohonan Unit Pusat Universiti (UPU).

Artikel Berkaitan:

"Pengeluaran keputusan SPM Tahun 2023 pada 27 Mei adalah berdasarkan ketetapan tempoh yang diperlukan oleh Lembaga Peperiksaan untuk memproses keputusan peperiksaan dengan teliti dan tepat.

"Tempoh ini penting untuk memastikan maklumat tersebut adalah tepat sebelum diserahkan kepada pihak berkeperluan seperti UPU, Bahagian Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia bagi tujuan kemasukan calon lepasan SPM pada peringkat lebih tinggi," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok