hakimah1
hakimah1

Keputusan UPKK 2021 boleh disemak mulai hari ini

Nor Azma  Muhamat Laila
28 Dec 2021 07:11pm
A
A
A

Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang menggunakan Modul Penilaian Kelas KAFA (MPKAFA) bagi subjek bertulis boleh disemak hari ini secara dalam talian, bermula jam 11 pagi hingga 11 malam, sehingga 11 Januari 2022.

Keputusan ini boleh disemak melalui laman sesawang Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) di capaian simpeni.islam.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas (Short Message Service – SMS) UPKKNoKadPengenalan/NoPengenalanKhas dan hantar ke 15888.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Hakimah Mohd Yusoff berkata, slip keputusan rasmi hanya boleh dimuat turun pada tarikh dan tempoh masa yang telah ditetapkan.

Katanya, ibu bapa disarankan agar menyemak dan memuat turun keputusan yang muktamad dalam tempoh semakan tersebut.

“Buat kali pertama dalam suasana Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa, pelaksanaan berbentuk penilaian dapat dilaksanakan dengan jayanya malah keputusan pelaksanaan MPKAFA pada tahun ini telah diterjemahkan dengan peratusan keseluruhan sebanyak 95.37 peratus.

Hakimah Mohd Yusoff.

“Kejayaan murid dalam Mata Pelajaran Amali Solat adalah sebanyak 97.40 peratus, Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) mencatatkan 96.06 peratus, diikuti Bidang Al-Qur'an yang mencapai 96.89 peratus kelulusan.

“Pencapaian ini sekali gus mencapai objektif penilaian yang telah ditetapkan dengan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau lagi, keputusan pelaksanaan yang meningkat pada tahun ini telah memperlihatkan kemampuan murid dalam menyampaikan respon kepada penilai menerusi sesi penilaian yang telah dijalankan.

“Peningkatan keputusan pada tahun ini juga adalah bukti dan hasil keberkesanan aktiviti pendidikan KAFA secara keseluruhan termasuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang telah dilaksanakan dalam pelbagai cara dan kesesuaian.

“Pencapaian ini selaras dengan apa yang terkandung di dalam visi dan misi di mana tujuan pengajian KAFA adalah untuk melahirkan manusia yang terdidik dan tidak terikat dengan peperiksaan bertulis semata-mata,” jelasnya.

Seramai 464,605 calon menduduki UPKK pada tahun ini membabitkan 222,528 murid Tahun Enam, tahun 2020; dan 242,077 murid Tahun Lima, tahun 2021.

Sebanyak 6,163 pusat penilaian dibuka di seluruh negara dengan penglibatan lebih daripada 35,000 orang Guru KAFA di pelbagai premis berdaftar serta petugas peperiksaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok