No Image Caption

Keracunan makan: Fikir keselamatan pelajar jangan fikir untung - Asyraf Wajdi

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
26 Sep 2024 02:27pm

Keracunan makanan boleh mendatangkan kesan bahaya atau lebih parah lagi mengakibatkan maut jika tidak diberi rawatan secepatnya.

Justeru, penyediaan makanan terutama di kantin sekolah atau dewan makan asrama perlu menitikberatkan soal kebersihan dan kualiti agar dapat mengelakkan segala perkara tidak diingini daripada berlaku.

Namun, isu murid keracunan makanan sering dilaporkan di media-media sosial melibatkan murid akibat memakan makanan yang dijual atau disediakan di kantin.

Lebih memeranjatkan lagi, baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita seramai 86 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, Ipoh yang disyaki mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan di kantin sekolah berkenaan.

Kejadian itu mengundang pelbagai reaksi ramai pihak termasuk Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan kekecewaannya terhadap isu tersebut.

Menurut satu hantaran yang dimuat naik di Facebook, Asyraf Wajdi meluah rasa kecewa dan marah apabila mendengar kes keracunan makanan melibatkan anak-anak pelajar akibat keculasan pengusaha kantin atau dewan makan.

“Tolonglah! Fikir soal keselamatan dan kesihatan pelajar sebelum fikirkan soal keuntungan semata-mata. Apa guna untung tetapi memudaratkan orang? Apa guna untung tetapi tiada keberkatan?

“Harap pihak berkuasa ambil tindakan tegas dan keras. Kalau berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau mana-mana institusi pendidikan Mara, tiada lagi amaran tetapi penamatan.

Artikel Berkaitan:

“Tiada lagi rayuan tetapi akan diambil tindakan undang-undang dan samn!” tulisnya.

Sebelum ini, Asyraf juga pernah tular ketika melakukan tinjauan di salah sebuah dewan selera MRSM yang didapati tidak mematuhi aspek kebersihan.

Kontraktor dewan MRSM berkenaan telahpun diambil tindakan tegas dengan mengheret ke mahkamah, selain menamatkan kontrak akibat bersikap sambil lewa melibatkan penyediaan makanan buat pelajar.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp