
Kejayaan STAM 2025: Menteri Pendidikan tersentuh, pelajar sebak dipeluk
Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 yang diumumkan pada Khamis, mencatat Gred Purata Kebangsaan (GPK) 2.81, menandakan pencapaian memberangsangkan bagi pelajar agama seluruh negara.
Sebagai meraikan mereka, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir ke Sekolah Agama Menengah (SAM) Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor bagi menyaksikan keputusan pelajar-pelajar berkenaan.
Sepanjang lawatan, Fadhlina tidak dapat menahan sebak ketika menyaksikan pelajar-pelajar STAM bergembira dengan kejayaan masing-masing.

"Alhamdulillah, keputusan mereka sangat cemerlang. Ada yang sebak sambil memeluk saya. Saya pun sebak juga, seolah-olah saya sendiri yang mengambil keputusan anak-anak saya," kongsi beliau di Facebook.
Menteri Pendidikan itu menekankan bahawa pencapaian pelajar dengan kurikulum baharu STAM yang digubal bersama Al-Azhar Al-Sharif bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi persiapan untuk mereka menjadi bakal ulama’ dan umara’ yang berilmu, berakhlak dan rahmah kepada umat.
Selain meraikan kejayaan, Fadhlina turut mengumumkan insentif RM10,000 untuk tiga buah sekolah terbaik STAM seluruh negara, termasuk Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), manakala SAM Bandar Baru Salak Tinggi menerima peruntukan RM200,000 bagi membaiki dewan sekolah supaya fasiliti lebih kondusif untuk warga sekolah.

Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap kesungguhan para asatizah dan guru yang mendidik pelajar dengan penuh dedikasi.
Malah, beliau terharu dengan sambutan hangat dan akhlak terpuji warga sekolah terhadap tetamu yang hadir, walaupun hanya seketika.
"Akhlak mereka sangat terpuji ketika menyantuni para tetamu. Ini adalah bukti bahawa kejayaan akademik tidak terpisah daripada didikan akhlak," tambahnya.

Ringkasan AI
- Keputusan STAM 2025 mencatat GPK 2.81, menunjukkan prestasi cemerlang pelajar agama Malaysia
- Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, hadir ke SAM Bandar Baru Salak Tinggi untuk menyaksikan keputusan pelajar
- Fadhlina sebak melihat kegembiraan pelajar-pelajar STAM atas kejayaan mereka
- Insentif RM10,000 diberikan kepada tiga sekolah terbaik STAM dan SAM Bandar Baru Salak Tinggi menerima RM200,000 untuk membaiki dewan sekolah
- Fadhlina memuji akhlak warga sekolah dan kejayaan akademik pelajar-pelajar Islam yang tidak terpisah daripada didikan akhlak