WhatsApp Image 2021-12-02 at 16.03.03
WhatsApp Image 2021-12-02 at 16.03.03

Kerjasama UMK dan Kumpulan EMKAY tubuh Rainforest Research Centre

Nor Azma  Muhamat Laila
02 Dec 2021 04:52pm
A
A
A

GERIK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Kumpulan EMKAY menubuhkan UMK Rainforest Research Centre dalam usaha memantapkan lagi kegiatan pembelajaran lapangan, penyelidikan dan mempromosikan keunikan kawasan hutan hujan tropika Royal Belum yang berhampiran dengan Pulau Banding.

Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, penubuhan pusat penyelidikan melalui Yayasan Pulau Banding (PBF) akan memberi peluang yang besar kepada UMK untuk bersama-sama membantu mempromosi dan meningkatkan pengunaan kawasan Pulau Banding bagi tujuan pengajaran serta penyelidikan yang lebih mantap.

Menurut beliau, sebagai permulaan, UMK dan PBF telah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) pada bulan Ogos yang lalu.

“Pusat penyelidikan ini diuruskan oleh Fakulti Sains Bumi (FSB) dengan mendapat mandat daripada Pengerusi PBF, Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad.

“Tujuan utama penubuhan UMK Rainforest Research Centre ini bertepatan dengan prinsip, piagam dan garis panduan penubuhan PBF iaitu bagi memulihara dan memelihara hutan hujan tropika Royal Belum yang sangat hampir dengan Pulau Banding.

“Ini kerana kawasan ini sangat strategik dengan kawasan penyelidikan hutan hujan tropika yang luas dan ia merupakan antara hutan tropika tertua mempunyai khazanah alam yang terunggul,” katanya pada sesi lawatan UMK ke Belum Rainforest Resort (BRR) yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY, Tan Sri Dr Mustapha Kamal Abu Bakar, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof Dr Arham Abdullah; Dekan FSB, Prof Madya Dr Mohamad Faiz Mohd Amin dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Ts Dr Noor Janatun Naim Jemali.

Menurut Prof Nik Maheran, pusat penyelidikan tersebut dibangunkan dengan konsep tersendiri termasuk penglibatan dari dalam dan luar Negara, industri dan komuniti pihak kerajaan (quadruple helix).

Katanya, melalui kemudahan dan fasiliti yang ada, pihak fakulti akan bersama-sama menjalankan aktiviti keusahawanan, latihan industri dan pembelajaran melalui real-living lab yang belum ada di mana-mana universiti yang lain.

“Dengan penubuhan pusat ini juga pelajar turut mendapat manfaat bagi tujuan pengajaran dan penyelidikan secara Work Based Learning (WBL) di mana mereka akan mendapat kaedah pengajaran dan pembelajaran secara lapangan melalui experiencial learning yang selari dengan Program Apprentice 3u1i (tiga tahun di universiti, satu tahun di industri) di UMK,” ujarnya.

Tambah beliau, UMK juga akan membantu pihak PBF dalam usaha mendapatkan pengiktirafan sebagai tapak warisan antarabangsa UNESCO melalui akta perundangan yang ditetapkan seperti National Biodiversity Policy bagi memastikan tindakan murni ini mendapat sokongan penuh daripada pihak kerajaan.

Kerjasama pintar ini turut membabitkan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) dan Belum Rainforest Resort (BRR) khususnya berkaitan hospitaliti, pelancongan dan kesejahteraan (wellness).

Ujar Prof Nik Maheran lagi, kerjasama ini akan dilaksanakan dalam pelbagai bidang termasuk akademik, perundingan, penyelidikan, khidmat sosial dan projek kesukarelawan.

Sementara itu, satu jawatankuasa PEMANDU yang diketuai oleh Prof Arham akan ditubuhkan dan turut dianggotai oleh UMK serta pihak PBF.

“Jawatankuasa ini akan memperincikan lagi program-program serta inisiatif-inisiatif yang relevan untuk dilaksanakan agar ia selari dengan visi dan misi kedua-dua belah pihak.

“Fungsi jawatankuasa ini ialah melaksanakan inisiatif bagi mendapatkan sokongan pihak pengurusan tertinggi UMK untuk mendapatkan dana supaya projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Melalui kerjasama ini, pusat latihan kurikulum akan diwujudkan untuk aktiviti International Summer Camp bagi kursus kepimpinan keusahawanan yang bertujuan mendidik masyarakat supaya menjadi individu yang berpengetahuan dan berfikiran kritis dalam melestarikan alam,” jelasnya.

Prof Nik Maheran berkata, kerjasama ini turut menfokuskan kepada pembangunan masyarakat setempat dan Orang Asli dengan usaha menaiktaraf sosio ekonomi, kajian dan penyelidikan berkaitan masyarakat Orang Asli.

“Projek ini akan diterajui oleh Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK) UMK yang menumpukan kepada penyelidikan dan perkhidmatan berkaitan kemiskinan serta kesejahteraan hidup masyarakat termasuklah Orang Asli,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok