Kredit foto: 123rf
Kredit foto: 123rf

Ketahui inisiatif KPM menangani buli dan gangguan seksual di sekolah

ROSHLAWATY MD RAIEH
18 Aug 2023 11:59am
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius mengenai isu buli dan gangguan seksual melibatkan murid-murid di institusi pendidikan di bawah kelolaannya.

Mereka sentiasa proaktif dalam perkara tersebut bagi menjamin ekosistem selamat kepada guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan.

Menurut KPM dalam satu kenyataan media pada Jumaat, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan peraturan sedia ada seperti yang terdapat dalam surat siaran kementerian, surat pekeliling ikhtisas dan garis panduan berkaitan.

Antara mekanisme yang sedang dilaksanakan KPM dalam menangani buli dan gangguan seksual tersebut adalah menerusi tiga perkara iaitu;

1) Kempen kesedaran mengenai kesan buli dan gangguan seksual terhadap mangsa di media konvensional dan media sosial.

2) Program pendidikan mengenai bahaya buli dan gangguan seksual juga dilaksanakan secara bersepadu melibatkan aspek kurikulum, kokurikulum, pembinaan sahsiah dan amalan sekolah penyayang.

3) Intervensi kepada mangsa buli dan kerjasama strategik dengan semua pihak terutamanya yang melibatkan agensi penguat kuasa bagi memastikan isu buli dan gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih efektif.

Dalam kenyataan media yang sama, KPM turut memaklumkan mereka menyediakan tiga saluran yang boleh digunakan orang ramai termasuk pihak sekolah dan ibu bapa untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes buli dan gangguan seksual yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Saluran tersebut terdiri daripada talian khas Aduan Buli; e-mel: adubuli@moe.gov.my dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Kepada orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat aduan buli dan gangguan seksual pula, mereka boleh mengakses menerusi Portal Aduan Buli KPM di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli.

Semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi pendidikan telah diarahkan untuk mematuhi tahap kesegeraan penyampaian maklumat, laporan, tindakan berkaitan buli dan gangguan seksual kepada KPM berdasarkan tempoh hari yang ditetapkan iaitu pada kadar 1:3:7 (hari).

Setakat ini, rekod penyelesaian aduan buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan bawah KPM menunjukkan lebih 90 peratus kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 15 hari.

Dalam pada itu, KPM juga sedang memuktamadkan garis panduan menangani buli dan gangguan seksual serta Peraturan Disiplin Murid yang baharu dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi menggantikan Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah 1959).

“KPM menyeru kerjasama dan komitmen berterusan semua pihak termasuk ibu bapa, pentadbir institusi pendidikan, guru, media, rakan korporat dan seluruh anggota masyarakat untuk sama-sama terlibat secara langsung atau tidak langsung memerangi isu buli dan gangguan seksual.

“Insya-ALLAH, KPM akan sentiasa berusaha memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya dipelihara.

“Oleh itu, tiada kompromi kepada buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan bawah KPM,” ujar kenyataan itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok