Sebelum pemergiannya, Cikgu E sempat memuat naik catatan reda bukan berhenti berharap tetapi menerima segala ketentuan ALLAH SWT dengan hati yang yakin bahawa setiap ujian itu adalah bentuk kasih sayangNya.
Sebelum pemergiannya, Cikgu E sempat memuat naik catatan reda bukan berhenti berharap tetapi menerima segala ketentuan ALLAH SWT dengan hati yang yakin bahawa setiap ujian itu adalah bentuk kasih sayangNya.

Kisah hidup Cikgu E jadi inspirasi

NURUL HUDA HUSAINNURUL HUDA HUSAIN
17 Nov 2025 02:14pm

Meskipun telah hampir seminggu pejuang kanser, Allahyarham Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E pulang menemui Sang Pencipta, namun kisahnya tetap hidup dan terus menjadi bualan sehingga ke hari ini.

Cikgu E, 45, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 4.45 petang pada 11 November lalu setelah bertarung nyawa selepas beberapa hari menerima rawatan di Hospital Pantai Ipoh, Perak.

Sering berkongsi perjalanan hidupnya melawan tiga kanser iaitu buah pinggang, kelenjar dan paru-paru tahap empat yang dialaminya sejak Mac 2024 di media sosial, bekas guru itu tetap tidak mengalah dengan melawan kesakitan yang ditanggungnya itu demi keluarga tercinta.

Kisah perjuangan bapa kepada lima cahaya mata itu untuk tidak mengalah, walaupun penyakit yang dihadapinya semakin kritikal membuatkan beliau menjadi inspirasi kepada banyak pihak dalam melalui ujian kehidupan yang tidak pernah putus.

Melalui setiap perkongsian di media sosial miliknya, Cikgu E sering mengingatkan masyarakat untuk mensyukuri nikmat kesihatan, menghargai masa bersama keluarga dan berbuat baik walau dalam kesakitan.

Sebelum ini, Cikgu E dilapor mempunyai hanya kira-kira 30 peratus fungsi saluran pernafasan, namun Allahyarham tidak pernah berputus asa dan tetap berikhtiar menjalani rawatan imunoterapi berganda yang menelan kos tinggi.

Kisah Allahyarham yang memerlukan dana kira-kira RM200,000 bagi menampung kos rawatan selepas perlindungan takaful sedia ada tidak mencukupi juga turut mendapat perhatian ramai.

Bapa kepada tiga cahaya mata perempuan dan dua lelaki berusia antara lapan hingga 19 tahun itu sebelum ini berkata, beliau hanya mampu menghabiskan masanya 24 jam dalam keadaan duduk serta bergantung kepada bantuan oksigen.

Artikel Berkaitan:

Kenalan dan teman rapat dengan Cikgu E turut menyifatkan bekas guru yang sebelum ini turut aktif menyertai acara larian bersama isterinya, Azlina Mohd Ali sebagai individu berjiwa besar dan bersikap pemurah.

Justeru, tidak hairanlah jenazah Allahyarham yang disolatkan di Masjid Al-Ansar di Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak disertai ribuan jemaah.

Sebelum pemergiannya, Cikgu E sempat memuat naik catatan reda bukan berhenti berharap tetapi menerima segala ketentuan ALLAH SWT dengan hati yang yakin bahawa setiap ujian itu adalah bentuk kasih sayangNya.

Allahyarham juga pernah memohon supaya kenalan dan keluarganya tidak menangisi pemergian beliau tetapi cukup dengan mengirimkan doa dan menyedekahkan Al-Fatihah, selain meneruskan hidup dengan kasih serta kebaikan.

Kisah Cikgu E menjadi bukti bahawa kekuatan bukan hanya diukur pada fizikal, tetapi pada jiwa yang tidak pernah berputus asa.

Semangat juang tinggi ditunjukkan Allahyarham juga turut mengajar kita erti sebenar kesyukuran, ketabahan dan cinta keluarga yang tiada sempadan.

Hari ini, walaupun jasadnya telah tiada, semangat dan senyumannya kekal hidup dalam ingatan masyarakat.

Cikgu E pergi meninggalkan dunia, tetapi mewariskan teladan bahawa dalam apa jua ujian, iman dan kasih sayang mampu menjadi ubat paling mujarab.

Semoga kisah ketabahan dan perjuangan yang tidak pernah luntur untuk meneruskan kehidupan ke sisa terakhir seperti ditunjukkan Allahyarham Cikgu E memberi inspirasi kepada semua pihak khususnya bagi mereka yang sedang melawan penyakit atau masalah.

Sebagai manusia kita tidak terkecuali diuji, namun mungkin ujian yang diterima setiap individu berbeza tetap ingatlah kita tidak pernah bersendirian kerana ALLAH SWT sentiasa bersama hamba-Nya.

Al-Fatihah buat Allahyarham Nassry Mardee Ismail. Semoga ALLAH SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan kita semua.

 

 

Ringkasan AI

  • Cikgu E meninggal dunia setelah berjuang melawan kanser buah pinggang, kelenjar dan paru-paru tahap empat
  • Beliau sering berkongsi kisah perjuangannya di media sosial, menginspirasi banyak orang
  • Memerlukan dana RM200,000 untuk rawatan selepas perlindungan takaful tidak mencukupi
  • Cikgu E, bapa kepada lima anak, sempat berkongsi pesan agar keluarga dan kenalan tidak menangisi pemergiannya tetapi cukup mengirimkan doa
  • Meskipun telah meninggal, semangat Cikgu E tetap hidup dalam ingatan masyarakat sebagai teladan ketabahan dan cinta keluarga
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp