Nassry Mardee meluangkan masa bersama isteri, Azlina (kiri) dan anak bongsunya Nassrul Hafeez, 8 (kanan) di rumahnya baru-baru ini.
Nassry Mardee meluangkan masa bersama isteri, Azlina (kiri) dan anak bongsunya Nassrul Hafeez, 8 (kanan) di rumahnya baru-baru ini.

Lawan tiga kanser, Cikgu E nekad 'berjuang' sehingga hujung nyawa

03 Nov 2025 09:27am

Walaupun dimaklumkan hanya mempunyai 30 peratus baki saluran pernafasan masih berfungsi, seorang bekas guru enggan menyerah kalah melawan kanser paru-paru tahap empat yang dihidapinya.

Bagi Nassry Mardee Ismail, 45, atau lebih mesra disapa Cikgu E, perjuangannya melawan tiga jenis, iaitu kanser buah pinggang, kanser kelenjar dan kanser paru-paru sejak Mac 2024 kini memasuki fasa kritikal, namun bertekad untuk terus 'bernafas' demi isteri dan lima cahaya matanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata perempuan dan dua lelaki berusia antara lapan tahun hingga 19 tahun itu berkata, dia kini hanya mampu menghabiskan masanya 24 jam dalam keadaan duduk serta bergantung kepada bantuan oksigen.

Dia sebelum ini seorang atlet dan pelari maraton kini memerlukan dana kira-kira RM200,000 bagi menampung kos rawatan double immunotherapy yang dianggarkan melebihi RM500,000, selepas perlindungan takaful sedia ada sebanyak RM300,000 tidak mencukupi.

"Saya betul-betul dah reda sebenarnya. Saya memang betul-betul dah terima apa sahaja kemungkinan," katanya. 

Nassry Mardee berkata, walaupun doktor memaklumkan saluran pernafasannya boleh tersumbat sepenuhnya dalam tempoh tiga minggu (dimaklumkan sejak minggu lepas), dia tidak menganggap penerimaan (reda) itu sebagai tanda menyerah kalah.

"Maknanya apa sahaja yang patut kita buat, kita dengar cakap doktor dan apa rawatan yang doktor suruh, kita cuba sedaya upaya," katanya yang turut kehilangan ibu dan abang sulungnya akibat kanser buah pinggang.

Keadaannya yang aktif bersukan sebelum ini berubah sepenuhnya, jika dahulu dia mampu berlari 10 kilometer (km) dengan pace empat, kini terpaksa meminta bantuan untuk ke bilik air.

Artikel Berkaitan:

"Saya hanya fikir mahu bernafas. Itu sahaja," katanya yang pernah menjalankan perniagaan membuka kedai kemudahan fotografi selepas berhenti menjadi guru pada 2012.

Nassry Mardee berkata, kekuatannya untuk meneruskan kehidupan hadir daripada sokongan padu keluarga apabila isterinya, Azlina Mohd Ali, 45, yang juga seorang guru, menggunakan kemudahan Jaminan Kerajaan (GL) untuk menampung kos ubat-ubatan kanser di hospital kerajaan.

Lebih menyentuh hati, Nassry Mardee berkata, anak bongsunya Nassrul Hafeez, 8, sanggup berhenti sekolah agama pada waktu pagi semata-mata untuk menjaganya di rumah.

Dikenali dengan perwatakan ceria dan 'pak lawak', Nassry Mardee berkata, dia sengaja mengekalkan sikap itu agar rakan-rakan yang datang menziarahinya tidak berasa sedih.

"Kita tak nak kawan-kawan kita sedih. Kita tak nak akhirnya kita nampak apabila mereka datang melihat kita, mereka yang down (sedih).

"Saya melayan mereka seperti mereka datang melihat seorang kawan, bukannya melihat seorang kawan yang sakit," katanya yang saban hari sibuk menerima lawatan kenalannya.

Rawatan double immunotherapy yang perlu dijalaninya kini berharga RM29,424 untuk setiap tiga minggu, dan memerlukan 17 kitaran rawatan.

"Dengan ingat kepada mereka (keluarga), membuatkan kita reda. Maksudnya kita cuba sedaya upaya untuk hidup," katanya yang turut aktif berkongsi perkembangannya di media sosial.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Nassry Mardee boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank melalui nombor 558220621223. - Bernama 

 

 

Ringkasan AI

  • Bekas guru berjuang melawan kanser paru-paru tahap empat dengan hanya 30% kapasiti pernafasan
  • Nassry Mardee memerlukan dana RM200,000 untuk rawatan double immunotherapy melebihi kos RM500,000
  • Dia menghabiskan masa 24 jam duduk dan bergantung pada bantuan oksigen
  • Keluarganya, termasuk istrinya yang menggunakan kemudahan GL dan anaknya yang berhenti sekolah agama, memberi sokongan kuat
  • Menyimpan sikap ceria dan aktif berkongsi perkembangannya di media sosial untuk meringankan suasana bagi lawatan kenalan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp