Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly

KKM akan perhalusi semula SOP aktiviti luar bilik darjah

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
21 Apr 2024 10:25pm
A
A
A

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan segala aktiviti luar bilik darjah di semua sekolah termasuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penelitian itu perlu bagi menambah baik prosedur sedia ada susulan kematian seorang pelajar lelaki ketika menyertai aktiviti merentas desa, Jumaat lalu.

Menurut beliau, kejadian itu perlu dijadikan iktibar bagi mewujudkan satu SOP lebih tuntas dan berkesan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Saya pada awal sudah menegur perkara ini, namun mungkin tidak ada tindakan tegas dan tuntas.

“Bagi saya, perlu ada satu SOP yang jelas mengenainya,” katanya ketika menghadiri Majlis Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor di Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor, Ahad.

Sehubungan itu, katanya, beliau yakin Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengarah Jabatan Pendidikan akan meningkatkan penguatkuasaan berhubung SOP tersebut.

Terdahulu, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Gentam, Negeri Sembilan rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa kira-kira jam 8 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, meninggal dunia ketika merentas desa melibatkan jarak tujuh kilometer bersama kira-kira 700 pelajar lain.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok