nata linggi future image
nata linggi future image

KPDNHEP biaya kos pemfailan paten reka cipta pemenang ICAN 2021

webadmin
30 Sep 2021 06:27pm
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membiayai kos pemfailan paten reka cipta Maryam Muzamir yang berjaya merangkul tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN 2021) di Toronto, Kanada.

Pelajar Tahun Lima, Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist Kuantan, itu mengharumkan nama negara dalam pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara melalui ciptaan inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut dinamakan YAM 2.0.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan memulakan penilaian awal berkenaan inovasi tersebut.

"Proses penilaian awal ini perlu dilakukan bagi meningkatkan kebarangkalian inovasi YAM 2.0 boleh didaftarkan di bawah Akta Paten 1983," katanya selepas mengadakan pertemuan secara maya bersama Maryam hari ini.

Nanta berkata, kos pemfailan paten dianggarkan dalam lingkungan RM10,000.

"Harapan KPDNHEP ialah hasil reka cipta adik Maryam terus berkembang hingga dikomersialkan. Perlindungan paten bukan sahaja meningkatkan nilai sesuatu inovasi secara tidak langsung membantu pemilik menjana pendapatan," katanya.

Nanta berkata, kriteria bagi pendaftaran paten ialah sesuatu inovasi perlulah baharu di dunia, melibatkan langkah-langkah mereka cipta dan boleh digunakan dalam industri.

"Reka cipta atau inovasi dianggap baharu sekiranya tiada inovasi sama atau hampir sama yang pernah didedahkan di mana-mana tempat di dunia dan dalam apa jua cara sekalipun sebelum inovasi tersebut difailkan di Pejabat Paten atau di MyIPO di Malaysia," katanya.

Di Malaysia, kata Nanta, sesuatu inovasi boleh dilindungi di bawah Paten atau Perbaharuan Utiliti.

Paten adalah hak eksklusif diberikan kepada suatu reka cipta atau inovasi sama ada produk atau proses yang memberi penyelesaian teknikal terhadap sesuatu masalah, manakala Perbaharuan Utiliti adalah hak eksklusif diberikan kepada suatu reka cipta ringkas tidak melibatkan ujian langkah mereka cipta.

Maryam, 11, yang ditemani bapanya Dr Muzamir Hasan, meluahkan rasa gembira dan bangga kerana inovasinya diiktiraf dan berharap reka ciptanya dapat dikomersialkan bukan sahaja di pasaran tempatan malah di seluruh negara. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok