Hui Ying
Hui Ying

KPM ambil langkah segera tangani peningkatan MBPK

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
06 Mar 2023 04:08pm

Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil beberapa langkah dalam menangani peningkatan bilangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) pada setiap tahun.

Menurut Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, langkah-langkah tersebut adalah terdiri daripada

1) Menambah bilangan sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

  • Pada 2018, bilangan PPKI adalah sebanyak 2,343 buah dan telah meningkat kepada 2,632 buah pada 2022.

2) Menerima MBPK lebih daripada kapasiti sekolah di Sekolah Pendidikan Khas (SPK) dengan menggunakan bilik-bilik khas sebagai bilik Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

3) Menyalurkan peruntukan bagi penyediaan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan lain-lain penyelenggaraan PPKI.

  • Pada 2018, peruntukan yang diterima untuk Pendidikan Khas adalah berjumlah RM2.3 juta. Pada 2019 pula, peruntukan meningkat kepada RM34.07 juta diikuti 2020 sebanyak RM39.61 juta. Seterusnya pada 2021, peruntukan sebanyak RM33.5 juta dan 2022 sebanyak RM28.2 juta telah diterima.
  • Peruntukan tersebut telah disalurkan bagi memastikan kemudahan fasiliti dapat diselenggara dan seterusnya dimanfaatkan oleh MBPK dengan baik.

Hui Ying berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin sebagai menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (Hulu Selangor) yang mengemukakan soalan apakah langkah-langkah KPM dalam menangani masalah limpahan murid OKU di sekolah-sekolah selaras dengan dasar sifar penolakan (Zero Reject Policy) yang telah dilaksanakan.

Zero Reject Policy merujuk kepada penempatan persekolahan MBPK di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan tanpa menafikan hak mereka untuk menerima pendidikan di sekolah bawah KPM.

Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), semua murid termasuk MBPK berhak untuk menerima pendidikan yang relevan dengan keupayaan mereka.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp