Fadhlina
Fadhlina

KPM berusaha sediakan kemudahan sekolah yang lengkap dan mencukupi

ROSHLAWATY MD RAIEH
24 Feb 2023 07:40pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memastikan penyediaan kemudahan sekolah mencukupi, berada dalam keadaan baik dan kondusif bagi menjamin keselamatan serta keselesaan warga sekolah.

Sebagai contoh, kekurangan bilik darjah dan bilik khas di sekolah dalam kawasan Kudat dan Pitas, Sabah kini dalam perhatian KPM untuk diselesaikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM telah mengambil langkah proaktif menangani masalah tersebut.

“Antara usaha yang dilakukan adalah penambahan bilik darjah dan bilik khas kepada sekolah berkaitan.

“Penambahan itu termasuklah makmal komputer dan makmal sains di sekolah sedia ada berdasarkan keperluan dan kesesuaian tapak,” ujarnya ketika menjawab soalan Datuk Verdon Bahanda (Kudat) di Dewan Rakyat pada Rabu mengenai pelan pembangunan sekolah rendah luar bandar di Kudat dan Pitas yang tidak mencukupi untuk murid-murid pedalaman.

Sambung Fadhlina, sebanyak lapan buah sekolah telah diluluskan projek pembinaan bangunan tambahan atau gantian dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2021 khusus di Parlimen Kudat, Sabah.

Skop projek pembinaan bangunan tersebut merangkumi pembinaan bilik darjah, blok pentadbiran dan bilik-bilik khas termasuk makmal sains dan makmal komputer.

“KPM juga merancang untuk mengemukakan permohonan pembinaan bangunan tambahan atau gentian bilik darjah dan bilik-bilik khas di Sekolah Kebangsaan Balambangan, Banggi, Kudat untuk pertimbangan agensi pusat dalam RMK12 RP4 Tahun 2024.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun kelulusan dan pelaksanaan projek ini adalah tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan,” jelas beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok