Cuti sekolah menyediakan peluang unik untuk mengurangkan stres dalam kalangan pelajar.
Cuti sekolah menyediakan peluang unik untuk mengurangkan stres dalam kalangan pelajar.

Cuti sekolah yang paling dinanti

17 Dec 2023 10:00am

Cuti sekolah merupakan waktu yang dinanti-nantikan oleh pelajar tidak kira sekolah rendah mahupun menengah.

Dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah dirancang keluarga masing-masing, maka inilah saat menggembirakan anak-anak.

Selain dari kegembiraan dan rekreasi, cuti sekolah juga menyediakan peluang unik untuk mengurangkan stres yang mungkin dialami pelajar sepanjang persekolahan mereka.

Waktu persekolahan dari pagi sehingga petang, membuatkan pelajar kepenatan fizikal dan mental serta cuti sekolah adalah saat terbaik untuk pelajar berkarya sambil bercuti dan meningkatkan kesejahteraan intelektual masing-masing.

Cuti sekolah membolehkan pelajar berehat tanpa tekanan jadual harian sekolah.

Aktiviti seperti tidur yang cukup, menjalani rutin harian tanpa tekanan masa dan berkumpul dengan keluarga dapat memberikan peluang pemulihan mental dan fizikal.

Inilah masa terbaik bagi pelajar meningkatkan kreativiti masing-masing tanpa paksaan.

Bagi pelajar yang mempunyai hobi, inilah hari anda untuk berkarya dan meluahkan kreativiti berdasarkan minat serta kemahiran.

Artikel Berkaitan:

Yang pasti, dalam suasana tanpa tekanan akademik, pelajar berpeluang mengeksplorasi apa yang ada dalam diri mereka.

Aktiviti kreatif seperti melukis, menulis atau menghasilkan karya seni dapat menjadi medium yang baik dalam mengurangkan stres dan meningkatkan kesejahteraan emosi dan intelektual.

Aktiviti rekreasi

Aktiviti rekreasi juga boleh dimanfaatkan sewaktu cuti sekolah terutamanya bersama keluarga.

Aktiviti fizikal seperti sukan atau beriadah dapat membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan mood melalui pelepasan endorfin sekali gus meningkatkan kecergasan mahupun kecerdasan pelajar.

Seterusnya, masa cuti sekolah juga menyediakan peluang mengukuhkan hubungan sosial pelajar.

No Image Caption

Berkumpul dengan rakan-rakan dan keluarga membantu membina sokongan sosial yang penting untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan dan dapat meningkatkan kesejahteraan sosial pelajar juga.

Kesejahteraan sosial amat penting kerana hubungan sosial yang positif membantu melindungi pelajar daripada tekanan dan kesunyian.

Imbangi kehidupan pelajar

Sementara itu, pelajar sering menghadapi tekanan yang besar sepanjang sesi persekolahan.

Cuti sekolah memberi mereka peluang mengimbangi kehidupan pelajar ke arah yang lebih baik, menjauhkan diri seketika daripada tekanan akademik dan menetapkan keseimbangan yang lebih sihat ke arah kesejahteraan fizikal dan mental.

Selain itu, peluang cuti sekolah dapat dimanfaatkan untuk membaca buku atau mengejar minat khusus yang tidak mungkin dilakukan semasa sesi persekolahan.

Pendidikan kendiri ini dapat memberikan kepuasan dan memperkaya pengalaman pelajar, antaranya waktu cuti sekolah ini terdapat ibu bapa yang mengambil peluang menghantar anak-anak mereka menghadiri seminar motivasi, kelas hafazan, kelas bahasa asing dan pelbagai lagi.

Masa cuti sekolah juga boleh digunakan untuk persediaan awal bagi pelajar yang ingin meningkatkan prestasi akademik mereka.

Pembelajaran awal, penyelidikan atau menghadiri kursus tambahan dapat dilakukan tanpa tekanan masa yang ketat sewaktu cuti sekolah.

Kesimpulannya, cuti sekolah menyediakan peluang emas bagi pelajar menguruskan stres, melepaskan tekanan yang dibawa oleh rutin harian sekolah dan meningkatkan kesejahteraan pelajar secara holistik.

Dengan menyediakan persekitaran positif, ibu bapa dapat memastikan pelajar kembali ke sekolah dengan semangat yang segar dan bersedia menghadapi cabaran pembelajaran kelak.

Maklumat Penulis

Ketua Jabatan Kesejahteraan, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan Dan Kesejahteraan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Nurul Hafizah Mohd Yasin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp