KPM kenal pasti 6 subjek teras perlu tambahan guru
Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengenal pasti enam subjek teras yang memerlukan tambahan bilangan guru di sekolah setakat 28 Februari lalu.
Timbalan menterinya, Lim Hui Ying berkata, enam subjek teras tersebut adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Seni Visual dan Sejarah.
“KPM telah melaksanakan pengambilan guru sebanyak 22,327 orang melalui kaedah one-off dan kluster mata pelajaran bagi tempoh 2021 hingga Januari 2023.
“Bagaimanapun, kami (KPM) mempunyai perancangan untuk membuat pengambilan guru pada April hingga Jun ini dengan mengambil guru dari universiti luar,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai kekurangan guru sekolah bagi subjek pendidikan teras dan perancangan KPM bagi meningkatkan pengambilan jumlah guru baharu.
Dalam pada itu, Hui Ying turut memberitahu, pengambilan guru adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan itu serta keperluan opsyen mata pelajaran semasa.
“Mungkin akan ada sesetengah graduan yang tidak terpilih menjadi guru atau tidak dipanggi ke temu duga.
“Ini berikutan opsyen mata pelajaran yang berlainan dengan apa yang diperlukan di KPM,” tambahnya.
Menjawab soalan tambahan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai nasib graduan yang gagal temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Hui Ying juga berkata, graduan boleh memohon semula melalui mySPP selepas tempoh enam bulan dari tarikh keputusan dikeluarkan di portal rasmi SPP.
Menurutnya, calon yang masih tidak berjaya boleh terus memohon sehingga mencapai umur 45 tahun.