
KPM kerjasama dengan Mindef perluas akses pendidikan di pedalaman Sabah
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mewujudkan satu program khas sebagai inisiatif memperluas akses pendidikan kepada anak-anak di kawasan pedalaman Sabah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, program yang dinamakan ProKhas itu akan dilaksanakan di Kampung Serudong Laut, Tawau dengan kerjasama Kementerian Pertahanan (Mindef) menerusi program Jiwa Murni.
"Kita bekerjasama dengan Mindef untuk membina sekolah di Serudong Laut. Kerjasama dua kementerian ini adalah usaha memastikan akses pendidikan untuk anak-anak khususnya di Kampung Serudong Laut dapat dibangunkan bersama dan ini akan melibatkan penyertaan komuniti secara besar-besaran.
"Kita kini dalam proses pelaksanaan dan saya sendiri telah membuat tinjauan tempoh hari. Saya mendapati kawasan itu mempunyai ruang dan akses yang sangat baik, maknanya memang wujud potensi untuk anak-anak belajar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Menurut Fadhlina, tinjauan awal menunjukkan kawasan berkenaan berpotensi untuk pembangunan kemudahan pendidikan yang bersesuaian.
Sementara menunggu pembinaan sekolah kekal, KPM telah mengambil langkah awal dengan melaksanakan kelas pembelajaran bagi memastikan pendidikan anak-anak di kampung tersebut tidak terjejas.
"Proses pembinaan akan disegerakan, namun dalam masa yang sama, kita telah memulakan program khas bagi memastikan anak-anak di situ dapat terus belajar. Kelas pembelajaran ini dikendalikan oleh guru-guru secara bergilir yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
"Semasa lawatan kami tempoh hari, terdapat kira-kira 20 hingga 30 murid yang mengikuti kelas. Kita juga sedang mengumpul data jumlah keseluruhan pelajar bagi memastikan kehadiran mereka direkodkan. Angka ini dijangka meningkat dari semasa ke semasa," jelasnya.
Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan bahawa Sabah tidak pernah dipinggirkan dalam agenda reformasi pendidikan negara, malah sentiasa diberi perhatian oleh KPM.
"Sabah sentiasa di hati KPM. Kita komited untuk menangani isu akses pendidikan dan memastikan tiada pelajar tercicir. Malah kita sangat berbangga dengan kejayaan negeri ini dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini.
"Keputusan itu menyaksikan lebih 146 pelajar di Sabah memperoleh keputusan cemerlang 4 flat, satu pencapaian yang membanggakan. Ini antara hasil nyata reformasi pendidikan yang sedang dijalankan," katanya.
Tambah beliau, kejayaan itu menjadi pemangkin kepada KPM untuk terus menambah baik inisiatif pendidikan khususnya dalam memperkukuh pendidikan Tingkatan Enam di Sabah.