
Saya tak nak tengok anak-anak Mara masuk lokap - Asyraf Wajdi
Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak mahu melihat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berakhir dengan tindakan undang-undang hanya kerana terlibat dalam budaya buli.
Pesanan dan peringatan itu disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada para pelajar institusi tersebut ketika melakukan lawatan mengejut ke MRSM Besut, Terengganu pada Ahad.
Beliau turut mengingatkan bahawa budaya buli perlu dihentikan segera kerana ia hanya mewujudkan kitaran keganasan dan dendam yang berterusan.
"Saya menangis dalam hati apabila melihat pelajar memakai pakaian lokap. Bayangkan, pelajar, anak-anak, memakai pakaian warna ungu dan duduk dalam lokap.
"Kita mesti buktikan ini hanya kes terpencil. Selepas ini, tiada lagi. Saya tidak mahu dengar atau lihat anak-anak Mara masuk lokap begitu," katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan dua pelajar MRSM Besut direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes buli di sekolah berkenaan.
Sebelum itu, lima pelajar sekolah sama berusia antara 15 hingga 17 tahun, yang dipercayai turut terlibat, ditahan reman sehingga Ahad.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad@Abu dilaporkan berkata, setakat ini dua pelajar lelaki Tingkatan Dua di MRSM Besut mendakwa menjadi mangsa buli oleh beberapa pelajar senior di asrama pada jam 11.30 malam, Selasa lalu.
Seorang daripada mangsa mendakwa dipaksa duduk dalam keadaan separa mencangkung, diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar sehingga mengalami kesakitan pada perut, rusuk kanan serta lebam di belakang badan.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menasihati agar kejadian tersebut dijadikan pengajaran supaya tidak berulang.
"Itulah sebabnya saya boleh berkompromi dalam hal-hal lain, tetapi dalam isu buli, saya tidak akan berkompromi," tegasnya.
Beliau turut memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka akan berada dalam keadaan selamat dan terpelihara apabila memasuki MRSM.
Dalam hantaran sama, beliau memberi amaran tegas bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pengetua, warden atau guru yang cuba menyembunyikan kes buli.
"Dalam kes ini, tindakan pantas warden patut dipuji kerana segera ke lokasi kejadian sebelum keadaan menjadi lebih serius.
"Malah ketika sampai, beliau menyaksikan sendiri seorang pelajar melempang salah seorang mangsa," katanya lagi.
Disebabkan itu, menurut Asyraf Wajdi, Jawatankuasa Disiplin Maktab segera bersidang dan mendapati bahawa perlakuan buli fizikal memang berlaku.
"Saya amat kecewa dan dukacita apabila mendengar insiden buli ini. Ini bukan budaya kita. Ini bukan DNA MRSM," katanya.
Tambah beliau, budaya buli langsung tidak mencerminkan nilai Ulul Albab, sahsiah Mara serta prinsip pendidikan yang diperjuangkan.
"Di Mara, kami tekankan prinsip you touch, you go - sesiapa yang terlibat secara langsung atau bersubahat dalam kes buli tidak akan diberi tolak ansur," katanya.
Asyraf Wajdi menegaskan bahawa MRSM bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi medan pembentukan akhlak, jati diri dan kepimpinan masa depan negara.
"Kita tidak boleh benarkan satu insiden mencemarkan institusi ini yang menjadi medan melahirkan kepimpinan masa hadapan negara," tegasnya.
Justeru, beliau dan pengurusan Mara bertekad memastikan budaya buli dihapuskan hingga ke akar umbi, dengan menetapkan sasaran 'sifar buli' di semua MRSM.