Cuti khas bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada guru dan murid melaksanakan pergerakan merentas negeri untuk pulang berhari raya bersama-sama keluarga.
Cuti khas bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada guru dan murid melaksanakan pergerakan merentas negeri untuk pulang berhari raya bersama-sama keluarga.

KPM kongsi 8 soalan lazim berkaitan tambahan cuti perayaan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
12 Apr 2023 02:09pm

Pengumuman 19 April sebagai cuti tambahan sekolah sempena Aidilfitri cukup menggembirakan hati semua pihak terutamanya warga institut pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM) yang terlibat.

Ini kerana tarikh tersebut boleh digunakan untuk membuat segala persediaan Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, cuti berkenaan bertujuan memberi ruang kepada murid-murid dan para guru membuat persiapan bagi negeri di kumpulan A dan B.

“KPM umumkan yang 19 April sebagai cuti khas untuk semua warga KPM. Jadi 19 April tidak akan ada sesi persekolahan,” katanya selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Forum Integriti, di Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya pada Selasa.

Sebagai makluman berhubung cuti khas, Sinar Bestari kongsikan lapan soalan lazim yang mungkin menjadi tanda tanya dalam kalangan orang ramai.

Soalan-soalan lazim yang dipetik menerusi laman Facebook KPM itu terdiri daripada

1) Apakah maksud cuti khas?

Cuti khas bermaksud cuti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 Seksyen 130 Akta Pendidikan 1996.

Artikel Berkaitan:

2) Mengapakah cuti khas ini dinamakan cuti tambahan perayaan Hari Raya?

Cuti khas ini dinamakan cuti tambahan kerana KPM telah memberi cuti perayaan pada 20 April (Khamis) untuk sekolah-sekolah di negeri Kumpulan A serta 20 April (Khamis) dan 21 April (Jumaat) untuk sekolah-sekolah di negeri Kumpulan B.

3) Bilakah tarikh cuti khas yang diumumkan oleh KPM sebagai cuti tambahan perayaan?

- 19 April (Rabu).

4) Apakah justifikasi cuti khas ini diberikan?

Cuti khas ini bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada guru dan murid melaksanakan pergerakan merentas negeri untuk pulang berhari raya bersama-sama keluarga.

5) Apakah institusi pendidikan KPM yang terlibat dengan cuti khas ini?

Institusi pendidikan bawah KPM yang terlibat ialah sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Tingkatan Enam, Kolej Vokasional (KV), Kolej Matrikulasi (KM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

6) Adakah semua warga institut pendidikan terlibat dengan cuti khas ini?

Tidak. Cuti khas ini hanya melibatkan murid dan guru sekolah KPM; pelajar dan pensyarah KV/KM serta penuntut IPG.

7) Adakah cuti khas ini melibatkan pengetua, guru besar, pensyarah IPG dan anggota kumpulan pelaksana di institut pendidikan?

Tidak.

8) Adakah cuti tambahan 19 April terpakai untuk sekolah swasta dan sekolah antarabangsa?

Tidak terpakai. Bagaimanapun, sekolah swasta yang melaksanakan kurikulum kebangsaan adalah digalakkan untuk mengikuti ketetapan ini bergantung kepada keputusan pengurusan sekolah masing-masing dan perkara ini turut melibatkan tadika swata.

Bagi sekolah antarabangsa, pengoperasian adalah mengikut penggal persekolahan masing-masing.

Dengan perkongsian koleksi soalan lazim ini, diharapkan ia dapat merungkai segala persoalan semua. Semoga bermanfaat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp