Fadhlina (kanan) menunjukkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi selepas melancarkannya pada Sabtu. Turut kelihatan, Ahmad Rafee (tengah) dan Abu Hanipah (kiri).
Fadhlina (kanan) menunjukkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi selepas melancarkannya pada Sabtu. Turut kelihatan, Ahmad Rafee (tengah) dan Abu Hanipah (kiri).

KPM lancar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

ROSHLAWATY MD RAIEH
21 Aug 2023 04:20pm
A
A
A

Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

Modul yang dilancarkan pada Karnival dan Peluncuran Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya itu akan mula dilaksanakan di SMKA dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, modul berkenaan membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca serta dihayati.

“Saya tiada masalah untuk nilai-nilai dalam hadis dibawa ke sekolah dan dalam masa sama komitmen kita besar untuk melihat anak Muslim benar-benar menghayati Hadis 40 berkaitan nilai baik.

“Satu daripada Hadis Ad Deen An Nasihah bermaksud agama itu adalah nasihat dan inilah yang mahu kita terjemah bila di minta untuk menghayati semula potongan hadis itu,” ujarnya ketika berucap pada program tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) KPM, Dr Ahmad Rafee Che Kassim; Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, Abu Hanipah@Fauzi Zahari dan Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam KPM, Omar Salleh.

Karnival dan Peluncuran Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung yang hadir.

Antaranya gotong-royong, pameran melibatkan 10 buah sekolah dengan setiap sekolah mempamerkan kejayaan, kebitaraan dan kemahiran yang menjurus kepada penghayatan Hadis 40 selain jualan buku ilmiah dan akademik.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai modul berkenaan, menurut Omar, ia dibangunkan selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan mengambil inisiatif melalui KPM dan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) untuk menerbitkan semula himpunan Hadis 40 Imam Nawawi bagi diedarkan di seluruh sekolah.

“KPM telah mengambil pendekatan dengan membina modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang boleh dijadikan panduan kepada semua sekolah KPM.

“Selain itu, kita turut menggalakkan guru-guru Pendidikan Islam yang aktif di TikTok untuk menghasilkan isi kandungan yang pelbagai mengikut kreativiti masing-masing yang mengandungi Hadis 40,” ujarnya.

Omar turut menjelaskan, modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dapat membantu guru melaksanakan aktiviti pengukuhan dalam dan luar bilik darjah serta tidak terhad kepada sekadar membaca hadis sahaja.

Ia termasuk aktiviti seperti pembacaan dan huraian Hadis 40 selepas solat, mewujudkan sudut info pengajaran hadis, perkongsian pengajaran hadis dalam perhimpunan mingguan, gotong-royong bertemakan amalan Hadis 40 dan silang budaya.

Dalam pada itu, KPM berharap modul itu dapat menerapkan asas kefahaman agama dan keindahan akhlak Islam yang berupaya mengangkat martabat insan (karamah insaniah) dalam usaha untuk melahirkan ‘Anak Yang Baik lagi Cerdik’ (ABC) menerusi aktiviti pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah dengan berpandukan kandungan Hadis 40 Imam Nawawi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok