214 murid meriahkan Karnival Tadika Swasta Kuala Langat 2023

NURBAYA ABDUL REZAK
27 Nov 2023 07:06pm
A
A
A

Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut setiap 20 November, menjadi platform murid menyerlahkan bakat, potensi dan interaksi melalui hubungan interpersonal.

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat dan Persatuan Tadika Swasta Kuala Langat (PTSKL) tidak melepaskan peluang menganjurkan Karnival Tadika Swasta Kuala Langat bagi meraikan anak-anak di Quayside Mall, Kota Kemuning, Selangor pada Sabtu lalu.

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Negeri Selangor, Nazri Samsudin berkata, karnival yang disertai seramai 214 kanak-kanak, 85 guru dari 28 buah sekolah itu, memberi peluang kepada murid tadika swasta daerah Kuala Langat menunjukkan kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan di sekolah.

Beliau yang juga pengerusi program itu berkata, pihaknya sangat berharap karnival yang berlangsung mengeratkan lagi hubungan di antara pengusaha, guru, ibu bapa, murid-murid tadika swasta serta masyarakat sekeliling di Kuala Langat.

"Karnival ini mendapat sambutan yang baik dari tadika swasta Kuala Langat.

“Ia perlu diadakan sebagai bahan bukti kepada masyarakat betapa pentingnya pendidikan awal sebelum memasuki Tahun 1.

"Program sebegini juga perlu diadakan bagi menghargai kebolehan, bakat dan kemahiran generasi baharu yang mempunyai potensi berbeza-beza serta perlu dibimbing," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Nazri berkata, matlamat karnival ini untuk menyemai perkembangan menyeluruh murid prasekolah dari segi jasmani, emosi, intelek dan memberi maklumat kepada masyarakat bahawa pendidikan awal kanak-kanak sangat penting sebagai persediaan ke alam yang lebih formal.

Artikel Berkaitan:

"Antara objektif karnival ini adalah meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan murid-murid prasekolah semasa menjalankan aktiviti selaras aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025.

"Kita juga mahu meningkatkan kemahiran mereka cipta, menyiapkan murid yang bukan sahaja bijak membaca tetapi kreatif melahirkan idea. Mereka juga perlu diberi galakan daya kreativiti dan inovasi," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok