KPM menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong XVII
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 pada 3 Februari 2025 yang turut menyentuh beberapa perkara melibatkan pendidikan negara.
Menurut KPM dalam kenyataan media, pihaknya sentiasa proaktif dalam meningkatkan infrastruktur pendidikan bagi memastikan akses pendidikan berkualiti kepada semua murid.
"Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan Madani meluluskan pembinaan sejumlah 44 buah sekolah, 11 Pusat PERMATA yang dilengkapi dengan pusat didikan anak-anak autistik serta dua sekolah baharu bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
"Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara merangkumi RM1 bilion untuk menyelenggara semua jenis sekolah termasuk institusi pendidikan KPM.
"Manakala RM1 bilion lagi untuk menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.
"Selain itu, sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan kantin dan musala di sekolah," maklum KPM pada Isnin.
Seterusnya, agenda reformasi pendidikan yang direncanakan KPM sedang giat berjalan di setiap peringkat bagi memastikan pendidikan negara kekal relevan serta dapat menangani cabaran semasa dengan tuntas.
Ia memberi penumpuan kepada enam fokus utama iaitu digital, bahasa, literasi, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta prasekolah.
"Selaras usaha memperkasakan pendidikan TVET, kerajaan telah meningkatkan kadar Bantuan Geran Per Kapita (PCG) TVET sebanyak 15 peratus dengan kos keseluruhan berjumlah RM900 juta.
"Malah, sejumlah RM1.2 bilion juga diperuntukkan kepada Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik seluruh negara yang menyediakan pendidikan kepada 77,000 pelajar," ujarnya.
Sementara itu, KPM memaklumkan bahawa tumpuan mereka pada tahun ini terarah kepada pelan pembangunan pendidikan yang baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan persediaan bagi kurikulum persekolahan 2027.
Program Generasi Madani (GenMADANI) pula dilaksanakan di sekolah-sekolah sebagai wadah untuk memupuk perpaduan dan membina karakter bangsa Malaysia yang beradab, berakhlak serta berintegriti.
Akhir sekali, KPM akan terus berusaha untuk memastikan saranan Yang di-Pertuan Agong XVII dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia.