
KPM nafi Gred A- tidak cemerlang
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah mengeluarkan sebarang pekeliling yang menyatakan bahawa Gred A- tidak dikategorikan sebagai pencapaian cemerlang atau tidak layak memohon program matrikulasi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan menegaskan bahawa semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang berpeluang untuk memohon ke program matrikulasi berdasarkan sistem merit sedia ada.
"Kita tidak pernah mengeluarkan pekeliling yang mengatakan A- itu bukan A atau A- itu sebagai tidak cemerlang. Tidak pernah sama sekali kita menyebut begitu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dan Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2024 pada Selasa.
Fadhlina berkata, proses pengambilan ke program matrikulasi tahun ini adalah antara yang paling teratur dan lancar kerana dilaksanakan secara telus dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk jumlah subjek yang diambil pelajar serta merit yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program matrikulasi yang menumpukan kepada aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) masih mengekalkan keutamaan kepada pelajar berdasarkan pencapaian akademik dan merit yang ditentukan melalui sistem sedia ada termasuk penilaian Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
"Saya harap penjelasan ini jelas kerana bagi saya, kita telah pun melaksanakan proses ini dengan sangat adil dan memastikan semua anak-anak kita mendapat peluang itu berdasarkan keutamaan dan juga kuota yang telah ditetapkan," katanya.
Fadhlina berkata, bagi pengambilan secara automatik ke Program Matrikulasi KPM, keistimewaan diberikan kepada pelajar yang memperoleh 10A dan ke atas (Gred A+ dan A).
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPM bakal menubuhkan Majlis Tingkatan Enam menjelang Oktober depan bagi memperkukuh kepimpinan pelajar serta menjadi saluran suara kepada golongan pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara.
Beliau berkata, majlis itu akan menghimpunkan barisan kepimpinan pelajar Tingkatan Enam dari seluruh negara selepas proses pemilihan pimpinan di peringkat sekolah selesai dilaksanakan.
"Selepas sahaja mereka (pelajar baharu STPM) mendaftar masuk Tingkatan Enam, kita akan mula proses pemilihan pimpinan pelajar untuk persatuan mereka, dan kemudian selepas selesai semua pilihan raya di peringkat Tingkatan Enam, mereka akan dihimpunkan dalam Majlis Tingkatan Enam," katanya.
Fadhlina berkata, penubuhan Majlis Tingkatan Enam itu akan memastikan para pelajar mempunyai hubungan lebih rapat dengan kementerian dan kepimpinan tertinggi.
"Majlis Tingkatan Enam ini akan bertujuan untuk mengukuhkan lagi kepimpinan pelajar Tingkatan Enam. Ia juga akan menjadi suara kepada pelajar Tingkatan Enam dan pastinya mereka akan lebih dekat dengan KPM dan juga menteri sendiri kerana majlis itu akan berada di bawah Menteri Pendidikan.
"Kita akan bina semangat pasukan Tingkatan Enam ini...mereka juga akan diberi ruang bersama saya di pejabat, merasai proses dan program latihan amali," katanya. - Bernama