Apabila keputusan SPM 2015 diumumkan, pelajar yang selalu blur, senyap dan kelihatan tidak berpotensi itu sebenarnya berjaya mendapat keputusan yang tidak dijangka oleh sesiapa pun. (Gambar: Ihsan Facebook Cikgu Izzat)
Apabila keputusan SPM 2015 diumumkan, pelajar yang selalu blur, senyap dan kelihatan tidak berpotensi itu sebenarnya berjaya mendapat keputusan yang tidak dijangka oleh sesiapa pun. (Gambar: Ihsan Facebook Cikgu Izzat)

'Anak muridku tidak cemerlang di kertas tetapi hebat di hati' - Luah Cikgu Izzat

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
02 May 2025 11:46am

Kata-kata ini mungkin biasa tetapi bagi seorang guru bernama Cikgu Izzat, ia adalah kebenaran yang tersemat jauh di lubuk hatinya.

Kisah yang dikongsikan beliau bukan sekadar tentang pengajaran di kelas tetapi tentang makna sebenar menjadi seorang guru iaitu hadir untuk mengisi kekosongan yang tidak mampu diisi oleh sesiapa pun.

Cikgu Izzat merupakan seorang guru Sains dan juga mengajar di kelas bagi pelajar-pelajar Tingkatan Lima di sebuah kelas paling belakang. Di kelas inilah beliau bertemu dengan seorang pelajar istimewa iaitu anak yang sering diam hanya mampu tersengih apabila ditanya dan menjadi bahan jenaka serta buli oleh rakan-rakan sekelas.

Bagi guru lain, mungkin pelajar seperti ini sudah dianggap 'tiada harapan' tetapi tidak untuk Cikgu Izzat.

“Saya suka bersembang dengan dia. Dia banyak diam sambil tersengih tanpa menjawab sepatah pun tetapi saya tahu, dia hanya perlukan perhatian bukan silibus,” tulis Cikgu Izzat dalam satu hantaran di Facebook yang tular baru-baru ini.

Lebih menyayat hati, pelajar ini datang dari latar belakang keluarga yang hampir tiada sokongan. Ibu bapanya hanya datang ke sekolah setahun sekali, itupun untuk menuntut bantuan persekolahan RM100. Mesyuarat (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) PIBG, Hari Jaya Waris, semuanya tidak pernah dihadiri.

Cikgu Izzat sedar, sekolah adalah satu-satunya tempat di mana pelajar seperti ini boleh merasai sedikit kasih sayang dan perhatian. Maka, beliau memilih pendekatan yang berbeza hanya mengajar selama 10 minit dan selebihnya meluangkan masa untuk bersembang dan mendengar.

“Peperiksaan sebenarnya bukan menilai tahap pemahaman pelajar tetapi menilai tahap ketulusan seorang guru dalam mendidik mereka,” luah beliau penuh makna.

Artikel Berkaitan:

Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 diumumkan, pelajar yang selalu blur, senyap dan kelihatan tidak berpotensi itu sebenarnya berjaya mendapat keputusan yang tidak dijangka oleh sesiapa pun.

Detik itu membawa Cikgu Izzat kembali mengimbas zaman persekolahannya sendiri iaitu saat dia jatuh cinta dengan subjek Sains dan Biologi, hanya kerana gurunya.

Kini, dia sedar, dia telah menjadi guru yang sama kepada anak-anak muridnya.

Tahukah para pelajar sekalian, kisah Cikgu Izzat adalah kisah ramai guru di luar sana yang mengajar dengan hati, bukan sekadar dengan buku teks. Dalam dunia pendidikan yang sering mengejar pencapaian akademik, wujud insan-insan luar biasa seperti beliau yang percaya bahawa tugas guru bukan hanya mengajar, tetapi juga menyembuh.

Terima kasih, Cikgu Izzat. Terima kasih kerana menjadi cahaya dalam hidup pelajar yang hampir terpadam.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp