Kredit foto:Pexels
Kredit foto:Pexels

KPM perkenal 7 langkah tingkatkan kesejahteraan guru

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
20 Feb 2023 03:30pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini memutuskan untuk memansuhkan sebarang aktiviti yang tidak mendatangkan impak atau kesan secara terus kepada pembelajaran murid dan hanya menambahkan beban tugas guru.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, KPM berkata, itu antara tujuh langkah pelaksanaan segera ke arah kesejahteraan guru.

Menurut KPM, mereka akan terus mendukung dan memberikan tumpuan kepada tujuh teras utama dalam hasrat melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

Jelasnya, selain memansuhkan sebarang pertandingan, sambutan atau majlis yang tidak memberi impak besar kepada pembelajaran murid di semua peringkat, mereka juga akan mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja.

“KPM juga akan menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.

“Selain itu pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institut pendidikan tinggi (IPT) tetapi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Seterusnya adalah untuk mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja,” ujar KPM.

Dalam pada itu, KPM turut menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM bagi memastikan ia kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

Artikel Berkaitan:

Langkah terakhir, KPM akan memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan.

Ujarnya, kesemua langkah ini akan diperincikan oleh pengurusan tertinggi KPM dan akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2023/2024.

“KPM sentiasa komited memastikan kesejahteraan guru terus terpelihara,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok