KPM perlu tekankan penguasaan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris - PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan penekanan terhadap penguasaan tiga subjek utama pendidikan iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris bagi menyokong pembangunan negara.
Beliau berkata, penguasaan ketiga-tiga subjek itu amat mendesak berikutan perubahan dalam bidang kurikulum dengan kewujudan cabang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), transisi tenaga hijau, teknologi digital dan media sosial.
Menteri Kewangan itu menjelaskan penguasaan subjek tersebut dalam kalangan pelajar harus seiring dengan penggunaan Bahasa Melayu, selain menitikberatkan soal akhlak yang merangkumi nilai-nilai baik seperti hormat menghormati.
"Menguasai bahasa kebangsaan dengan baik sesuai dengan peredaran zaman dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik terutamanya dengan perkembangan teknologi dan pengetahuan baharu (juga) adalah penting.
"Anda (pelajar) mesti juga memastikan bahasa Inggeris memiliki penguasaan yang kuat. Bahasa Melayu harus dimantapkan, manakala bahasa Inggeris perlu dikembangkan," katanya ketika berucap pada Majlis Kunjungan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam atau lebih dikenali sebagai High School Bukit Mertajam (HSBM) Pulau Pinang pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad.
Perdana Menteri berkata, sekiranya negara gagal menguasai bidang itu, maka Malaysia akan kalah dalam persaingan dunia yang semakin mencabar terutamanya dalam teknologi baharu.
Tegas Anwar, asimilasi pengetahuan iaitu menimba ilmu sebaik mungkin dan menyemai nilai akhlak serta kebenaran merupakan dua aspek penting yang harus diterapkan dalam pendidikan hari ini.
"Mengapa dua aspek ini tidak boleh ditinggalkan kerana ia akan menyebabkan negara tercemar dengan kuasa rasuah. Ia (jadi begitu) sebab menimba ilmu dengan tidak menerapkan nilai akhlak dan prinsip kebenaran. Jadi harus ingat, terokai ilmu baharu tanpa meninggalkan tradisi, budaya, akhlak dan agama," katanya.
Beliau berkata, pendidikan merupakan bidang penting buat negara, justeru peruntukan besar diberikan dalam Belanjawan MADANI selain bidang perubatan.
Sementara itu, Anwar yang juga bekas pelajar sekolah HSBM mengumumkan dana RM225,000 bagi pembinaan surau dan RM275,000 untuk penyelenggaraan lain di sekolah berkenaan. - Bernama