Kah Woh (kanan) menyantuni pelajar dalam kelas ketika hadir Pada Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pendidikan ke SABK Maahad Al Khair Lil Banat di Jalan Sekolah Arab, Jana Baru, Kamunting pada Jumaat.
Kah Woh (kanan) menyantuni pelajar dalam kelas ketika hadir Pada Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pendidikan ke SABK Maahad Al Khair Lil Banat di Jalan Sekolah Arab, Jana Baru, Kamunting pada Jumaat.

KPM peruntuk lebih RM134 juta selenggara tandas SBK - Kah Woh

10 May 2024 02:50pm
A
A
A

Lebih RM134 juta diperuntukkan kepada 1,919 Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) bagi projek menaik taraf serta menyelenggara tandas sekolah yang dijangka bermula dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, setiap daripada sekolah berkenaan akan menerima peruntukan berjumlah RM70,000 seperti yang disalurkan kepada sekolah kerajaan pada tahun lepas.

"Buat masa ini, peruntukan ini masih dalam proses untuk kita memenuhi segala tatacara kewangan yang ada.

"Setelah kesemuanya dipenuhi maka kita akan salurkan kepada setiap SBK termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) untuk tujuan penyelenggaraan serta naik taraf tandas sekolah," katanya ketika ditemui sewaktu sesi lawatan di SABK Maahad Al-Khair Lil Banat, Perak pada Jumaat.

Sehingga 20 Mac lalu, sejumlah 8,354 tandas sekolah telah dibaiki dengan peruntukan berjumlah RM654.29 juta di bawah Projek Penyelenggaraan Tandas Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih lima juta pelajar seluruh negara.

Mengenai sesi lawatan yang diadakan, Wong berkata sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada tujuh sekolah dalam Parlimen Taiping bagi tujuan baik pulih atau menaik taraf fasiliti serta infrastuktur sedia ada.

Beliau berkata, segala proses akan dikendalikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah masing-masing.

"Sumbangan secara sekali beri ini disalurkan melalui Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan kepada enam sekolah kerajaan dan SABK Maahad Al-Khair Lil Banat, yang kita harapkan ia dapat digunakan sebaiknya oleh ketujuh-tujuh sekolah ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok