KPM sambut baik pelaburan Google
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik pengumuman Google untuk melabur RM9.4 bilion di Malaysia termasuk pembangunan Pusat Data Google yang pertama dan wilayah Google Cloud.
Menurut kenyataan media pada Rabu, selain memenuhi keperluan perkomputeran awan yang semakin meningkat, pelaburan Google turut memberi nilai tambah kepada usaha untuk mempertingkatkan program celik kecerdasan buatan (AI) bagi manfaat murid dan guru.
Katanya, inisiatif seperti Gemini Academy dan Experience AI yang sedang berjalan adalah bertepatan dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) bertujuan untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.
“Ini dilaksanakan menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai murid, pendidik dan pemimpin pendidikan; penyediaan infrastruktur, infostruktur dan kandungan yang berkualiti; dan penyertaan aktif rakan strategik secara bersepadu serta menyeluruh dari peringkat prasekolah hingga lepasan menengah.
"Kerjasama strategik yang terjalin antara KPM dengan peneraju teknologi seperti Google adalah penting untuk pengukuhan pelaksanaan DPD serta untuk memastikan usaha mereformasikan pendidikan negara berjaya," ujar KPM.