
KPM sasar sekolah seluruh negara guna 'smartboard' menjelang 2027
Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasa transformasi digital dalam sektor pendidikan negara terus diperkukuh apabila sasaran untuk melengkapkan semua sekolah dengan papan pintar atau 'smartboard' dijangka dapat direalisasikan sepenuhnya menjelang tahun 2027.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dalam jangkaan dua tahun itu, KPM akan memastikan pemasangan 'smartboard' akan dipasang di kesemua lebih 10,200 buah sekolah di seluruh negara.
"Kita berharap dapat melaksanakan (pemasangan sepenuhnya di semua sekolah) dapat dilaksanakan sebelum 2027 kerana 2027 ini akan adalah kurikulum baru jadi kita pun mahu melihat bahawa penggunaan itu dipertingkatkan.
"Namun kita juga bersedia dengan pelan sokongan lain termasuk menaik taraf pusat kegiatan guru sebagai pusat kecemerlangan untuk teknologi pendidikan," katanya.
Fadhlina sebelum itu menghadiri Majlis Penyerahan Smartboard dan Pengisytiharan Pencapaian 100% Penajaan Smartboard Sekolah-Sekolah Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Jumaat.

Menurutnya, setakat kini, Pulau Pinang telah mencapai 100 peratus pemasangan 'smartboard' melibatkan jumlah keseluruhan 396 buah sekolah.
"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan, kerajaan negeri dan juga rakan sinergi antaranya Public Bank. Setakat ini kalau di Pulau Pinang 100 peratus, jadi negeri lain, kita sedang ikuti perkembangannya supaya dapat disegerakan juga.
"Sebab pengalaman kita, 'smartboard' ini bergantung kepada banyak faktor, komitmen, usaha dan juga demografi selain keperluannya. Tetapi kita tidak menafikan bagi negeri yang belum memenuhi keperluan itu.
"Kita sudah pun melengkapkan keperluan-keperluan itu sebagai hab digital dan kecerdasan buatan (AI) di pusat kegiatan guru. Jadi mana-mana negeri, daerah yang belum lengkap atau tidak ada 'smartboard', boleh menggunakan secara maksimum di pusat kegiatan guru yang telah kita naik taraf sebagai center of excellence untuk hub digital dan juga AI di seluruh negara," katanya.
Fadhlina turut menegaskan, walaupun teknologi memainkan peranan penting dalam memperkasa sistem pendidikan, peranan guru tidak pernah tergugat dan kekal sebagai elemen terpenting dalam pembentukan sahsiah dan moral pelajar.
"Teknologi tidak boleh mengambil alih peranan guru. Guru tetap peneraju dalam mendidik anak-anak kita dan memastikan nilai, integriti serta akhlak pelajar terus terpelihara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, pemakaian Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 21 April ini dan akan diteruskan secara konsisten dengan penyertaan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPM dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

"Ini adalah antara komitmen besar KPM yang perlu kita sokong dan kongsikan bersama masyarakat.
"Ia merupakan satu langkah penting untuk memastikan semangat cintakan negara terus hidup dan berkembang dari masa ke masa," katanya.