Hui Ying
Hui Ying

KPM siasat murid digigit guru

11 Jul 2023 05:18pm

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian murid trauma dan terganggu emosi kerana digigit seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Pantai Timur yang turut tular di media sosial sejak Ahad.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti berlaku.

”KPM sudah mengenal pasti hantaran yang dimuat naik (di Facebook) mendakwa kejadian itu. Perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dan KPM memandang serius perkara ini dan dalam masa sama kami menjalankan siasatan lanjut.

”Jika ada kes seperti itu tindakan sewajarnya tentu akan diambil,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Jaya, Butterworth, Pulau Pinang.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Dalam hantaran itu, ibu murid lelaki tersebut pada mulanya beranggapan bahawa anaknya menjadi mangsa buli sehingga akhirnya terbongkar kisah bahawa mangsa digigit seorang guru hingga takut untuk ke sekolah.

Dakwa wanita itu, bukan anak lelakinya sahaja menjadi mangsa tetapi kejadian itu turut berlaku terhadap beberapa murid lain malah guru berkenaan menggigit bahagian seperti mulut, tangan dan telinga.

Sementara itu, beliau berkata, KPM juga tidak berkompromi terhadap dakwaan berlaku elemen buli ke atas seorang pelajar lelaki yang mencekik adiknya sehingga mati dalam kejadian di Melaka baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes itu dalam siasatan polis dan pihaknya turut menjalankan siasatan sewajarnya terhadap dakwaan buli itu.

Terdahulu, beliau mengumumkan KPM meluluskan peruntukan RM500,000 untuk menaik taraf dan menyelenggara SMK Bagan Jaya.

Manakala Guan Eng menyumbang RM200,000 menerusi peruntukan ahli Parlimen bagi membaiki tandas dan memasang penghawa dingin untuk bilik guru. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp